Universiti Malaysia Pahang (UMP) akan terus memperkukuhkan peranannya sebagai universiti teknologi dalam Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) sebagai usaha mengangkat agenda pemerkasaan Latihan dan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) negara.
Ikuti Mynewshub: Facebook,Twitter, TikTok, Telegram, Instagram
Jalinan kerjasama strategik dimeterai melibatkan Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) dan Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia yang (MTUN) disaksikan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad di Hotel Tenera, Bangi baru-baru ini bakal mencorakkan hala tuju TVET negara.
MTUN terdiri daripada empat universiti iaitu Universiti Malaysia Pahang (UMP), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) serta Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM).
Menurut Naib Canselor UMP, Prof Dato Ts Dr Yuserrie Zainuddin berkata, kolaborasi strategik ini bakal memberikan ruang dan peluang untuk pelajar menikmati pengalaman pembelajaran yang lebih komprehensif melalui kursus-kursus yang ditawarkan dan dapat meningkatkan pengambilan lepasan politeknik ke UMP dan MTUN lain.
“Selain itu, kolaborasi ini juga berupaya menjadi pemangkin untuk mengekalkan kelestarian bidang TVET pada masa hadapan, di samping memastikan kesinambungan laluan akademik pelajar politeknik dan kolej komuniti selepas mereka tamat pengajian sehingga ke peringkat tertinggi,” katanya.
Selain itu, UMP bakal memperluas kerjasama dengan JPPKK bagi berkolaborasi dalam penyelidikan dan pengkomersilan, selain hasrat utama bagi artikulasi dengan politeknik.
“Artikulasi ini akan menambah minat graduan politeknik untuk melanjutkan pengajian ke universiti dan seterusnya meningkatkan jumlah ambilan terutama di bidang teknologi kejuruteraan. Begitu juga kolaborasi strategik dengan beberapa politeknik selain bagi tujuan perkongsian kepakaran dan fasiliti,” katanya.
Dalam pada itu, terdapat dua elemen utama yang membezakan TVET aras tinggi ialah High Technology High Value (HTHV) dan Malaysian Qualifications Framework (MQF) tahap 6 dan ke atas bagi program TVET. Malahan elemen ini juga perlu diterapkan oleh semua MTUN dalam kurikulum di universiti.
Mencapai dua dekad penubuhan, UMP menawarkan pelbagai program teknikal berteraskan kejuruteraan dan teknologi serta program akademik beridentitikan teknikal dengan kurikulum diterajui industri yang memenuhi keperluan utama negara.
Sehingga kini UMP menawarkan 15 program Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan, enam program Sarjana Muda Teknologi dan lima program Diploma Kejuruteraan/Teknologi Kejuruteraan.
Katanya, universiti turut memberi tumpuan kepada penyelidikan gunaan dan projek industri dengan industri setempat bagi memperkayakan pengajaran dan pembelajaran di samping mempromosikan aktiviti pengkomersialan produk penyelidikan.
“Pengantarabangsaan program dual Ijazah kini juga sedang berkembang pesat dan UMP antara universiti terbaik Asia dengan kebolehpasaran graduannya yang berjaya melepasi 96 peratus mendapat pekerjaan.
“Malah, UMP mempunyai tenaga akademik yang mampu menghasilkan penyelidikan dan pembangunan (R&D) berimpak tinggi,” katanya.
Prof Dato’ Ts Dr Yuserrie berkata, UMP sentiasa menambah nilai program akademik melalui proses penanda aras secara berterusan menggunakan model bertaraf dunia.
Dalam pada itu, selari dengan hasrat Pengerusi Lembaga Pengarah UMP, Tan Sri Dato’ Sri Dr Abdul Aziz Abdul Rahman yang menekankan aspek pendigitalan mendepani Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0), UMP bakal memperkasakan pendigitalan pendidikan tinggi merangkumi pembangunan kandungan digital dan peluasan program Open and Distance Learning (ODL) serta mempertingkatkan kerjasama dengan Commonwealth of Learning.
Penekanan kepada pendigitalan pembelajaran TVET akan diberi keutamaan bagi memenuhi keperluan industri negara selaras dengan hasrat Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Pelan Strategik UMP 2021-2025 bertemakan “Teknologi Untuk Masyarakat.”
-Sinar Harian