BAKU – Pelumba pasukan Red Bull, Max Verstappen mengukuhkan cengkaman selaku pendahulu kejuaraan dunia Formula Satu (F1) musim ini selepas memenangi perlumbaan Grand Prix (GP) Azerbaijan di Litar Baku City sebentar tadi.
Ikuti Mynewshub: Facebook,Twitter, TikTok, Telegram, Instagram
Dia yang merupakan juara dunia memulakan perlumbaan tersebut di petak ketiga, namun strategi yang diterapkan oleh pasukan membolehkan dia terus berada di kelompok hadapan sepanjang saingan.
Dalam pada itu, masalah enjin yang dihadapi pencabar terdekat dari Ferrari, Charles Leclerc pada pusingan ke-20 membolehkan Verstappen memimpin baki perlumbaan sebelum menamatkan saingan sebagai pemenang.
“Sudah tentu saya sangat gembira dengan kemenangan hari ini kerana jentera berada berada dalam keadaan cukup baik. Selain itu, tayar juga sangat mencengkam dan ia amat diperlukan di Baku.
“Selain itu, kerjasama sebagai satu pasukan juga sangat baik dan ia membantu saya untuk perlumbaan hari ini. Bagi perlumbaan seterusnya, saya tidak mahu terlalu yakin kerana saingan sentiasa berbeza,” kata Verstappen selepas tamat perlumbaan.
Perlumbaan itu juga menjadi kemenangan besar buat Red Bull apabila seorang lagi pelumbanya, Sergio Perez turut menjejakkan kaki ke podium di tempat kedua manakala tempat ketiga milik pelumba Mercedes AMG Petronas, George Russell.
Menjelang perlumbaan seterusnya pada GP Kanada yang akan berlangsung di Litar Gilles Villeneuve minggu depan, Verstappen pastinya turun dengan motivasi lebih tinggi bagi memburu kemenangan keenam musim ini.
Kosmo-