PUTRAJAYA : Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin hadir mesyuarat Kabinet pagi ini.
Ikuti Mynewshub: Facebook,Twitter, TikTok, Telegram, Instagram
Menurut sumber yang rapat dengannya, Zuraida hadir ke mesyuarat Kabinet pada jam 9.40 pagi tadi.
Buat masa ini, Zuraida masih menjalankan tugas di Kementerian seperti biasa dan agenda membanteras isu dakwaan buruh paksa dalam sektor perladangan sawit negara tetap menjadi keutamaan biarpun kedudukannya sebagai menteri Kabinet masih belum diputuskan.
Zuraida masih lagi menunggu masa yang sesuai daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk mengadakan pertemuan bagi membincangkan kedudukannya sebagai anggota Kabinet.
“Ketika ini Datuk mahu memberi tumpuan kepada tugas di Kementerian memandangkan Perdana Menteri belum membuat keputusan (mengenai kedudukan sebagai menteri Kabinet) dan beliau bertanggungjawab terhadap sektor komoditi negara.
“Beliau sedang berusaha dalam isu sekatan import sawit oleh Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) Amerika Syarikat (AS) dan masih bekerja kuat melawan agenda anti minta sawit,” katanya kepada BH.
Menurut sumber itu, jadual Zuraida hari ini juga padat dengan tugasan di kementerian termasuk menghadiri mesyuarat.
Semalam media melaporkan Zuraida berkata beliau dalam keadaan ‘standby’ kerana belum menerima jemputan untuk bertemu Perdana Menteri.
Kedudukan Zuraida dalam Kabinet pimpinan Ismail Sabri menjadi teka teki selepas mengumumkan meletak jawatan sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi serta keluar BERSATU untuk sertai Parti Bangsa Malaysia (PBM) dalam satu kenyataan media pada 25 Mei lalu.
Namun demikian, dalam kenyataan sama Zuraida memaklumkan akan bertemu Perdana Menteri dalam masa terdekat membincangkan peletakan jawatannya sebagai Menteri.
Kenyataan itu dibuat Zuraida ketika beliau berada di Turki memenuhi undangan Persidangan Perintis Ketujuh Gabungan Wanita Global untuk Al-Quds dan Palestin manakala Ismail Sabri berada di Tokyo, Jepun, menghadiri Persidangan Nikkei.
Pada sidang media sebelum mengakhiri lawatan kerja rasmi ke Jepun, pada 28 Mei lalu, Ismail Sabri memaklumkan Zuraida masih menteri Kabinet dan perlu menjalankan tugas sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi seperti biasa, selagi beliautidak membuat keputusan.
Zuraida pulang ke Malaysia Khamis minggu lalu.
-Berita Harian