SEREMBAN : Seramai 330 individu daripada 120 keluarga terjejas akibat banjir kilat di beberapa kawasan, di sini, berikutan hujan lebat sejak jam 7 malam tadi.
Ikuti Mynewshub:Â Telegram
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Sembilan, Leftenan Kolonel (PA) Mohd Syukri Md Nor, berkata antara kawasan terbabit ialah Kampung Ismail, Kampung Chedang, Taman Happy dan Kampung Sri Mantau.
“Rumah yang terletak berdekatan sungai dan kawasan rendah dinaiki air dengan cepat, namun keadaan tidak kritikal. Hujan lebat intensiti tinggi pada jam 9 malam dan reda kira-kira dua jam kemudian.
“Paras air paling tinggi naik hingga 0.5 meter di beberapa kawasan. Bagaimanapun, tiada pusat pemindahan dibuka, setakat ini. Kebanyakan mangsa ditumpangkan di balai raya berhampiran sementara air surut sepenuhnya,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Beliau berkata, lebih 20 anggota meliputi APM dan polis bersama orang awam membantu memantau keadaan, termasuk mengeluarkan mangsa dan mengalihkan barang di rumah mereka ke tempat selamat.
-Berita Harian