ALOR SETAR: Sebanyak 802 rumah dilaporkan terkesan dalam tragedi kepala air dan banjir lumpur yang berlaku di Baling, dekat sini, Isnin lalu.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, 15 daripada rumah tersebut dilaporkan musnah sepenuhnya, manakala 18 lagi rosak teruk dan memerlukan pembaikan besar.
“Setakat ini kita menerima laporan terdapat 802 rumah yang terjejas akibat tragedi itu. Ketika ini Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) masih menjalankan pemeriksaan bersama penghulu serta Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK).
“Selepas semua pemeriksaan dan tapisan dijalankan, jumlahnya akan dimuktamadkan oleh Jawatankuasa Bencana Daerah,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Muhammad Sanusi berkata, mereka yang kehilangan rumah serta tinggal di kawasan berisiko dipindahkan ke kawasan selamat.
“Rumah yang boleh dibaiki, akan kita perbaiki,” katanya.
Sementara itu di laman Facebooknya, Muhammad Sanusi turut menunjukkan peta tapak cadangan penempatan mangsa bencana banjir tersebut yang terletak di Kampung Lembaga Pembangunan Wilayah Kedah (KEDA) Sadik.
Menurutnya, perbincangan mengenai kaedah pelaksanaan penempatan mangsa banjir itu masih berjalan bersama pihak KEDA.
UtusanOnline-