Penulis berasa mahu terkejut membaca berita Datuk Seri Mohamad Hasan bersetuju bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersalah dalam kes mahkamah dihadapinya.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Bagaimanapun, penulis tidak jadi untuk berasa terkejut sebaliknya berasa “annoying” pula apabila mendapati berita itu laporan oleh media asing (media luar negara).
Pasti semua masih ingat media luar negara antara segmen menyebarkan propaganda negatif terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Media luar negara yang sangat sinonim dengan agenda pembangkang Malaysia tidak putus-putus melaporkan yang tidak baik tentang kerajaan Malaysia ketika itu.
Sama seperti badan bukan kerajaan (NGO) luar negara yang secara terbuka mengaku memberi bantuan dana kepada pembangkang Malaysia pada PRU-14 selepas kerajaan BN tumbang.
Justeru, penulis sangat percaya bahawa kenyataan Timbalan Presiden UMNO yang lebih popular dengan panggilan Tok Mat itu telah diputar belit oleh media asing.
Keyakinan itu bertambah apabila Tok Mat dalam kenyataan balasnya kepada media tempatan memaklumkan beliau tidak bermaksudkan begitu apabila ditemuramah oleh media asing.
“Apa yang saya katakan adalah Najib mesti mendapat perbicaraan adil. Sekiranya beliau didapati bersalah, barulah beliau kena berdepan hukuman, tapi seperti kita tahu, kesnya belum lagi berakhir, sedang berlangsung di Mahkamah Persekutuan.
“Tapi, beliau mesti mendapat perbicaraan adil. Jadi, sekiranya saya percaya Najib tidak mendapat perbicaraan adil, bagaimana boleh saya katakan beliau patut masuk penjara. Ia tidak masuk akal”
Sudah terang lagi bersuluh intipati temuramah Tok Mat telah dimanipulasi oleh media asing atas motif yang tentunya ramai sudah boleh ketahui.
Namun yang paling menjengkelkan adalah Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli tergopoh-gopoh memperlihatkan motifnya mahu mengambil kesempatan politik ddaripada laporan media asing itu.
Sekonyong-konyong beliau memuji Tok Mat berserta ucapan tahniah kerana didakwa menjadi individu dalam UMNO yang berani menyanggah Najib.
Barangkali Rafizi berfikir Tok Mat mudah untuk beliau “gula-gulakan” seperti penyokong pembangkang. Mungkin berharap Tok Mat terpesona lalu berlaku pergolakan antara Tok Mat dan Najib.
Menelusuri kisah perjalanan politik Tok Mat penulis yakin bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu sangat arif tentang permainan politik lawan.
Ibarat peribahasa ‘sekilas ikan di air sudah tahu jantan betinanya’. Begitulah jua Tok Mat yang telah sangat berpengalaman dalam dunia politik.
Rafizi tersilap besar jika beliau fikir boleh mempermainkan Tok Mat seperti yang dilakukannya terhadap Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Habis musnah seluruh orang-orang kepercayaan Anwar yang setia kepada parti dalam pemilihan PKR baru-baru ini. Kini Anwar dalam PKR `ibarat melukut di tepi gantang’.
-Mynewshub