DUNGUN: Bangkai seekor penyu agar yang reput ditemukan terdampar di Pantai Teluk Bidara, Seberang Pintasan, di sini, kira-kira pukul 8 pagi, hari ini.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Pengurus Projek Konservasi Lang Tengah Turtle Watch di Tanjong Jara Resort, Abidah Zaaba berkata, penyu yang diikat beberapa batu bata di bahagian kepala dan kaki dipercayai mati akibat perbuatan khianat.
Menurutnya, bangkai penyu yang dianggarkan berusia 15 hingga 20 tahun ini ditemukan orang awam yang berkunjung ke pantai tersebut.
“Selepas diperiksa didapati penyu tersebut berada dalam keadaan terseksa kerana kepala dan kaki diikat dengan batu-bata. Kita percaya tindakan ini dilakukan nelayan selepas penyu tersebut memasuki pukat mereka,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Abidah berkata, berdasarkan bangkai penyu tersebut pihaknya percaya penyu itu telah mati kira-kira seminggu lalu.
“Kita tidak dapat mengenal pasti jantina penyu tersebut kerana ekornya telah reput,” katanya.
UtusanOnline-