BALING : Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) akan membantu seramai 140 pekebun kecil getah yang terjejas dalam kejadian kepala air dan banjir kilat di Kupang di sini pada 4 Julai lalu.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Pengerusinya, Datuk Seri Mohd. Salim Mohd. Sharif berkata, kesemua pekebun kecil tersebut terlibat dalam program Bantuan Tanam Semula Getah di kawasan seluas 98 hektar.
“Kita akan bantu semua pekebun kecil yang terjejas itu untuk membangunkan semula kebun yang rosak atau musnah akibat bencana menerusi bantuan Rancangan Pemulihan Kebun (RPK).
“Mereka layak menerima bantuan pemulihan pada kadar maksimum RM7,710 sehektar,” katanya selepas melakukan lawatan kerja ke kawasan terjejas di Kampung Bukit Iboi, Kupang di sini hari ini.
Kata beliau, bantuan pemulihan kebun tersebut berupa benih, baja dan prasarana selain akan turut membaik pulih jalan pertanian yang rosak agar para pekebun kecil pergi menoreh getah semula seperti biasa.
Menurutnya, kesemua pekebun kecil itu perlu dibantu segera memandangkan daerah Baling adalah antara pengeluar getah terbesar dalam negara.
“Jumlah pekebun kecil yang terjejas adalah sebanyak 10 peratus daripada 13,121 orang dengan keluasan penanaman getah seluas 13,988 hektar di Baling,” jelasnya.
Katanya, pihaknya akan meneruskan usaha untuk mengenal pasti jumlah keseluruhan kawasan kebun getah yang rosak untuk dibantu.
Sementara itu, Mohd. Salim berkata, pihaknya juga akan membantu enam usahawan bimbingan Risda yang terjejas dalam bencana tersebut.
“Dua daripada usahawan itu ialah pengusaha kedai bakeri dan madu kelulut yang mengalami kemusnahan keseluruhan premis dan peralatan, manakala empat lagi mengalami kerosakan kecil,” ujarnya.
Tambahnya, pihaknya menerusi Yayasan Risda turut menyampaikan bantuan wang ihsan sebanyak RM1,000 kepada penghuni 17 rumah yang musnah dan rosak teruk akibat bencana berkenaan.
Dalam pada itu, pengusaha kedai kek, Nur Halimah Kuin, 29, berkata, dia bersyukur kerana banyak pihak tampil untuk membantu mangsa banjir termasuk Risda.
“Dalam tragedi kepala air itu, kedai kek saya lenyap terus, semua peralatan hilang termasuk mesin untuk buat kek disumbangkan melalui geran Risda untuk projek bimbingan usahawan Risda juga hilang dihanyutkan arus deras.
“Terima kasih kepada Risda kerana turut sama membantu saya mendapatkan semula mesin dan peralatan membuat kek, selepas ini saya boleh memulakan kembali perniagaan ini,” katanya.
-Utusan Online