BATU PAHAT : Bantuan Raja Sehari sebanyak RM1,000 kepada pasangan pengantin pertama kali berkahwin di negeri ini, juga dibuka untuk bukan anak jati Johor.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd Fared Mohd Khalid, berkata bantuan di bawah insentif Orang Muda Johor (OMJ) itu diberi kepada setiap pasangan pengantin yang pertama kali berkahwin dengan syarat, pendapatan bersama adalah RM5,000 ke bawah.
“Bukan anak jati Johor juga boleh mohon dengan syarat pendapatan bersama adalah RM5,000 ke bawah dan salah seorang pasangan sudah menetap di negeri ini melebih tiga tahun,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Program Korban Perdana, Penyampaian Bantuan Kasih Bangsa Johor dan Penyampaian Cenderahati Pelajar Cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semerah di Rumah Orang Semerah, di sini hari ini.
Mohd Fared yang juga ADUN Semerah berkata, kerajaan negeri mengalu-alukan semua masyarakat yang tinggal dan berkhidmat di Johor memohon bantuan berkenaan dengan dana RM10 juta diperuntukkan kerajaan negeri.
“Bagi bantuan berkenaan, RM6 juta diperuntukkan kepada pasangan Islam, manakala RM4juta untuk pasangan bukan Islam. Sejak permohonan dibuka April lalu, 200 pasangan sudah menerima bantuan berkenaan,” katanya.
Pada program berkenaan, beliau juga menyampaikan Bantuan Kasih Bangsa Johor kepada sepasang suami isteri baru berkahwin dan cenderahati kepada 36 pelajar cemerlang SPM dari kawasan DUN Semerah.
-Berita Harian