GEORGETOWN – MCA Pulau Pinang menggesa kerajaan negeri agar menukar projek Transit Aliran Ringan (LRT) kepada Transit Aliran Bas (BRT) kerana tidak perlu menggunakan kos yang terlalu tinggi.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Setiausahanya, Yeoh Chin Kah berkata, selain faktor kos, ia juga tidak mengambil masa yang lama untuk dilaksanakan selain mempunyai liputan yang lebih luas.
Menurutnya, projek BRT dijangka boleh disiapkan dalam tempoh setahun selain kerajaan negeri tidak perlu bergantung kepada dana dari kerajaan Pusat.
“Kos yang diperuntukkan untuk projek LRT iaitu RM4.4 bilion boleh dijimatkan dengan membina projek BRT yang merangkumi 426 kilometer (km) lorong bas BRT berbanding 40 km laluan LRT atau 14 km laluan MRT bertingkat.
“Ini menunjukkan kos pembinaan projek BRT menjimatkan kos berbanding projek LRT. Oleh itu, kita menggesa agar kerajaan negeri menukar projek LRT ke projek BRT yang lebih menjimatkan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat MCA Pulau Pinang di sini pada Rabu.
Tambahnya, sekiranya projek BRT dilaksanakan, ia boleh menggerakkan lebih ramai pengguna jalan raya berbanding lorong kereta.
“Kebanyakan bandar di China menggunakan sistem transit pantas bas yang membawa 4.3 juta penumpang sehari sekali gus menyelesaikan masalah kesesakan bandar,” katanya.
Dalam pada itu, Jurucakap MCA Pulau Pinang, Tang Heap Seng berkata, projek LRT akan menyebabkan Pulau Pinang akan terbeban dengan hutang pada masa hadapan.
Katanya, mengikut anggaran Jabatan Perangkaan Malaysia, penduduk Pulau Pinang akan mencecah 1.9 juta pada 2030 namun kerajaan negeri melaporkannya sehingga 2.8 juta orang.
“Kenyataan kerajaan negeri bahawa dengan jumlah penduduk 2.8 juta pada 2030, ia bakal menghasilkan 300,000 pengguna yang menggunakan LRT adalah tidak logik.
“Selain itu, bekas Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook juga pernah mengeluarkan kenyataan bahawa LRT adalah bukan pilihan yang terbaik untuk Pulau Pinang, malah bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng juga tidak memperuntukkan dana untuk pembinaan LRT,” katanya.
Tambahnya, kos pembaikan BRT adalah lebih murah berbanding LRT selain kos operasi harian juga amat berbeza.
“BRT boleh menggunakan tenaga elektrik dan mesra alam manakala LRT lebih banyak menggunakan tenaga elektrik selain mengeluarkan bunyi bising,” katanya.
Sebelum ini, Anthony dilaporkan berkata, LRT di Pulau Pinang bukan pilihan yang sesuai selepas satu penyelidikan yang dibuat Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).
Pulau Pinang sedang melihat untuk melaksanakan PTMP yang mengandungi projek LRT, tiga jalan berkembar, terowong dasar laut dan beberapa lagi sebagai sebahagian daripada usaha mengatasi masalah kesesakan trafik yang semakin buruk.
-Sinar Harian