Bermula tahun 2014 pembayar cukai diberi pilihan untuk tidak mengisi dan menyerahkan Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM).
Ikuti Mynewshub: Telegram
Mereka yang membuat pilihan itu namun perlu akur bahawa Potongan Cukai Bulanan (PCB) yang dikenakan terhadap gaji bulanan mereka adalah muktamad.
Ini bermaksud mereka boleh untuk tidak mengisi dan menyerahkan BNCP, tetapi LHDNM akan menganggap jumlah PCB yang telah dikenakan adalah tepat.
Seandainya ada pembayar cukai tiba-tiba merasakan PCB terlebih bayar selepas tamat tempoh tarikh serahan BNCP, mereka tidak boleh dapat bayaran balik daripada LHDNM.
Sebelum itu, setiap majikan diwajibkan membuat PCB ke atas pekerja yang layak dan pekerja (pembayar cukai) pada masa sama masih perlu mengemukakan borang cukai mereka.
Antara manfaat dasar PCB sebagai cukai muktamad kepada pembayar cukai adalah mereka tidak perlu khuatir dikenakan penalti akibat tidak menyerahkan BNCP.
Bagaimanapun, mereka perlu berpuas hati walau apa pun jumlah PCB yang telah dikenakan meskipun mereka layak untuk mendapat pelepasan (tax reliefs) tertentu.
Sebagai contoh bagi tahun taksiran 2021 sebanyak 26 `tax reliefs’ dibenarkan untuk cukai individu termasuk perbelanjaan vaksinasi untuk diri, isteri dan anak.
Begitu juga dengan pembelian komputer peribadi, telefon pintar atau tablet untuk diri sendiri, isteri dan anak untuk tujuan bukan perniagaan.
Justeru, pilihan di tangan masing-masing. Tidak mengisi BNCP tidak perlu khuatir dikenakan tindakan, tetapi kemungkinan terlepas manfaat “tax reliefs” amat besar.
-Mynewshub