Kota Bharu : Kerajaan memandang serius mengenai ketirisan minyak masak bersubsidi yang mengalir ke negara luar khususnya ke selatan Thailand sehingga menyebabkan negara mengalami kekurangan bekalan minyak masak bersubsidi.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, bagi menangani isu berkenaan ketirisan minyak masak bersubsidi, pihaknya sudah mengadakan perbincangan tidak rasmi dengan beberapa pihak berkaitan termasuk Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).
Katanya, pihaknya ingin mengetahui setakat mana seriusnya perkara itu disebabkan kerajaan membayar subsidi namun ia dinikmati oleh orang asing dan perkara sedemikian tidak sepatutnya berlaku.
“Namun jika ada penyelewengan atau penyeludupan membawa keluar minyak masak bersubsidi, ia sudah pasti satu perkara yang tidak boleh diterima dan memerlukan siasatan yang lebih teliti.
“Dalam masa sama, kita juga akan mengumpul maklumat mengenai perkara ini untuk mengetahui keadaan yang sebenar selain bilangan pengilang yang terbabit dalam industri ‘repackaging’ minyak masak peket dan di mana ia dijual,” katanya kepada pemberita selepas membuat tinjauan harga barangan keperluan dan runcit di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjong, di sini, hari ini.
Dalam perkembangan lain, Mustapa berkata, esok Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi akan mengadakan mesyuarat kali ketiga untuk membincangkan mengenai isu kenaikan harga dan inflasi.
“Dalam mesyuarat yang diadakan esok, dua isu utama yang akan dibincangkan iaitu kaedah bagaimana menangani isu kekurangan bekalan minyak masak bersubsidi dan kenaikan harga barangan keperluan.
“Sejak pasukan berkenaan ditubuhkan, mesyuarat pertama diadakan pada 29 Jun dan mesyuarat kali kedua pada 30 Jun bagi membantu pengguna mengimbangi kenaikan harga barang yang tidak dapat dielakkan.
“Tugas kami ialah mengetahui keadaan sebenar dan cuba menangani isu ini sebaik mungkin dan ia sudah pasti satu tugas yang amat mencabar dan pasukan kami akan bertugas secekap yang mungkin,” katanya.
Beliau berkata, tujuan jawatankuasa itu ditubuhkan adalah bagi memantau dengan lebih teliti harga barangan tertentu khususnya barang makanan untuk melihat bagaimana keadaan sebenar.
“Dalam mesyuarat ini, kami mencadangkan langkah-langkah penambahbaikan jika ada masalah selain Jabatan Perangkaan Negeri Kelantan juga ditugaskan untuk melakukan pemantauan dengan lebih kerap dan secara berkala,” katanya.
-Harian Metro