PUTRAJAYA : Kerajaan memberi jaminan langkah penjimatan seperti arahan Garis Panduan Penjimatan Perbelanjaan Awam yang dikeluarkan baru-baru ini tidak akan menjejaskan peruntukan melibatkan keselamatan negara.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan, aspek keselamatan kekal menjadi keutamaan serta tidak terjejas dengan cadangan penjimatan hingga mencapai sekurang-kurangnya lima peratus daripada baki peruntukan mengurus pada tahun 2022.
Malah, kata beliau, meskipun sistem pentadbiran negara diarah berjimat dengan menguruskan aliran tunai mengikut keutamaan, ia meliputi projek pembangunan yang belum dilaksanakan dan dalam perancangan.
“Maklumat terperinci (berhubung perkara ini) akan dimaklumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed.
“Aspek keselamatan tidak akan terjejas, (seperti) melibatkan kem, pos kawalan sempadan tidak terjejas, ia mesti kekal jadi keutamaan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Keselamatan Negara 2022 di sini hari ini.
Ismail Sabri berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung aspek keselamatan jika turut terlibat dalam arahan langkah penjimatan seperti arahan Garis Panduan Penjimatan Perbelanjaan Awam dikeluarkan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Seri Asri Hamidon pada 14 Julai lalu.
Untuk itu, Kementerian Kewangan meminta semua kementerian, jabatan, agensi, Badan Berkanun Persekutuan dan Syarikat Terhad Dengan Jaminan (CLBG) untuk melaksanakan penjimatan dalaman bagi menentukan semua perbelanjaan adalah selaras dengan prinsip serta peraturan pengurusan kewangan ditetapkan.
Menerusi garis panduan itu, setiap kementerian, agensi dan jabatan terlibat perlu menyusun semula peruntukan dan mencadangkan penjimatan mengurus hingga mencapai sasaran sekurang-kurangnya 5 peratus penjimatan daripada baki peruntukan mengurus pada tahun 2022.
-Utusan Online