MADRID: Ribuan anggota bomba bertungkus-lumus memadamkan kebakaran hutan yang semakin merebak di Portugal, Sepanyol dan Perancis, ketika suhu panas terus memuncak.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Di utara Portugal, seorang juruterbang maut selepas pesawat yang membawa bekalan air untuk memadamkan kebakaran hutan yang dikemudianya terhempas di Foz Coa, berhampiran sempadan Sepanyol.
Pihak berkuasa Portugal memaklumkan, sekurang-kurangnya 238 orang maut akibat cuaca panas sejak minggu lalu.
Dalam pada itu, kebakaran hutan terus merebak di kawasan wilayah Gironde di barat daya France, menyaksikan lebih 12,000 penduduk dipindahkan.
Agensi kaji cuaca Perancis meramalkan cuaca panas setinggi 41 darjah Celsius akan melanda bahagian selatan negara itu dan dijangka berterusan sehingga esok.
Menteri Dalam Negeri Perancis, Gerald Darmanin memaklumkan, kebakaran hutan setakat ini sudah memusnahkan kawasan seluas 10,000 hektar dan menyaksikan pasukan bomba perlu bekerja keras untuk meredakan situasi.
Suhu di Portugal masih direkodkan setinggi 47 darjah Celsius dan dijangka berterusan dalam beberapa hari akan datang.
Sementara itu, kebanyakan penduduk menzahirkan rasa ‘keliru dan sedih’ dengan situasi yang berlaku.
Mereka memberitahu, keadaan semakin teruk seperti tidak akan reda dalam masa terdekat.
“Kami boleh rasakan bahang kebakaran hutan, ditambah dengan cuaca panas sekarang.
“Kami hanya mampu selamatkan barangan penting dan melihat rumah kami hangus dijilat api.
“Kebakaran seperti tidak boleh dikawal lagi, kami cuma berharap keadaan ini berakhir segera,” kata seorang penduduk yang enggan mendedahkan identiti.
UtusanOnline-