KUALA LUMPUR: Hospital di Lembah Klang terkesan dengan pertambahan pesakit yang tinggi ke jabatan kecemasan terutama peningkatan dalam kes Penyakit Seperti Influenza (ILI) dan jangkitan pernafasan akut teruk (SARI).
Ikuti Mynewshub: Telegram
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata Hospital Tunku Azizah (HTA) di sini antara yang terkesan dengan peningkatan beban kerja yang mana kadar penggunaan katil di hospital itu secara purata melebihi 80 peratus.
Justeru, katanya Kementerian Kesihatan (KKM) mengambil beberapa langkah termasuk menempatkan 92 pegawai perubatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) atau HTA bermula semalam.
“Beberapa langkah diambil KKM bagi memastikan kecukupan akses untuk mendapatkan rawatan serta mengurangkan masa menunggu pesakit.
“Seramai 92 orang Pegawai Perubatan sudah dikenal pasti untuk ditempatkan di HKL atau HTA mulai 18 Julai (semalam). Jumlah ini boleh menampung seramai 86 orang pegawai perubatan yang akan bertukar keluar dari HKL atau HTA.
“Selain itu, seramai 14 orang Pegawai Perubatan telah dimobilisasi secara dalaman dari HKL ke HTA setiap tiga bulan bagi menampung kedatangan pesakit di Jabatan Kecemasan HTA,” katanya hari ini.
BH melaporkan tinjauan di sebuah hospital kerajaan di sini baru-baru ini mendapati ada keluarga yang terpaksa menunggu hingga tiga jam bagi membolehkan anak mereka mendapatkan katil di wad kanak-kanak bagi menjalani rawatan selain mendapati katil di wad kanak-kanak berkenaan sentiasa penuh sejak beberapa minggu lalu berikutan pertambahan pesakit.
Semalam, Dr Noor Hisham turut memaklumkan kes ILI membabitkan kes COVID-19 di seluruh negara menunjukkan peningkatan 8.5 peratus kepada 11.5 peratus berbanding 10.6 peratus sebelumnya.
Tambah beliau, langkah lain turut dilaksana termasuk memanjangkan waktu operasi klinik kesihatan berdekatan kepada jam 10 malam (extended hours) termasuk hari minggu dan hari kelepasan am.
“Ini membabitkan Klinik Kesihatan Kuala Lumpur dan Klinik Kesihatan Putrajaya Presint 9 bermula pada 3 Julai lalu.
“Pemanjangan waktu operasi itu turut diperluas di Selangor sejak 6 Julai lalu, khususnya sekitar Lembah Klang membabitkan Klinik Kesihatan Pandamaran, Klinik Kesihatan Bandar Baru Bangi dan Klinik Kesihatan Taman Ehsan sehingga jam 9 malam pada hari biasa dan sehingga 3 petang pada hujung minggu dan cuti kelepasan am,” katanya.
Beliau berkata, perancangan jangka masa pendek, sederhana dan panjang sudah disediakan bagi menangani peningkatan kes penyakit berjangkit seperti influenza dan COVID-19 termasuk meningkatkan kapasiti katil, fasiliti makmal dan sumber manusia di hospital.
Katanya, selain itu mewujudkan ‘semi-permanent structure’ di Jabatan Kecemasan, menukar fungsi wad kepada wad ‘multidisciplinary’ dan mengubahsuai bangunan hospital lama KKM sebagai hospital medan atau Pusat Kuarantin Berisiko Rendah (PKRC).
“Jangka panjang pula meliputi penubuhan ‘Infectious Disease Center’ di beberapa negeri mengikut keperluan sebagai pusat rawatan penyakit berjangkit di fasiliti KKM yang tersedia ada,” katanya.
Sementara itu Dr Noor Hisham, berkata orang awam terutama golongan berisiko tinggi digalakkan untuk mendapatkan pelalian vaksin influenza bermusim yang ditawarkan kebanyakan fasiliti kesihatan swasta di seluruh negara.
“Jangkitan yang disebabkan virus influenza bermusim akan menyebabkan gejala ringan pada kebanyakan individu namun bagi kumpulan berisiko tinggi seperti kanak-kanak, warga tua, wanita mengandung dan individu mempunyai penyakit kronik seperti kencing manis, darah tinggi dan lelah boleh mendapat gejala teruk.
“Komplikasi akibat jangkitan influenza teruk yang dialami oleh golongan berisiko tinggi ini juga berpotensi untuk menyebabkan kematian.
BHonline-