Kuala Lumpur : Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memberi jaminan akan menubuhkan jawatankuasa bebas yang akan mengkaji berhubung Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 sebelum ia dikuatkuasakan pada 2025.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Menterinya, Khairy Jamaluddin, berkata meskipun penilaian mandatori tidak termaktub dalam RUU itu namun pihaknya memberi lindung jamin di Dewan Rakyat nanti bahawa jawatankuasa ini akan mengkaji keberkesanan undang-undang terbabit.
Mengulas lanjut, katanya, kajian berhubung keberkesanan RUU itu juga akan dilaksanakan jawatankuasa bebas ini selepas tempoh 10 tahun undang-undang itu dikuatkuasakan dengan laporannya dibentangkan di Parlimen.
“Laporan ini akan dibentangkan di Parlimen dan bukannya pada KKM…selepas tempoh 10 tahun, kajian sama dibuat sama ada perundangan ini perlu dipinda jika tidak berkesan.
“Saya akan sebut dalam ucapan pembentangan nanti supaya ia direkodkan dalam hansard (penyata rasmi) bahawa menteri memberikan lindung jamin mengenai jawatankuasa bebas ini.
“Mengenai RUU ini, sebenarnya memang sudah ada Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 contohnya membabitkan kesalahan merokok di tempat larangan.
“Jika sebelum ini, denda maksimum mengikut peraturan itu adalah RM10,000 namun untuk RUU ini ia diturunkan kepada RM5,000, cuma daripada aspek penjualan kita perketatkan undang-undang…jadi kalau masih ada ahli Parlimen tidak sokong, saya harap supaya jangan ganggu laluan RUU ini,” katanya pada sidang media di sini.
Pada masa sama, Khairy berkata, jaminan sama turut diberikan kepada Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Kesihatan, Sains dan Inovasi (PSC) Parlimen, Dr Kelvin Yii Lee Wuen berhubung penubuhan jawatankuasa terbabit.
Katanya, sebelum ini PSC meminta supaya adanya penilaian mandatori terkandung di dalam RUU itu selain syor lain jawatankuasa terbabit untuk dipermudahkan terapi gantian nikotin, tiada hukuman penjara dan rekod jenayah bagi Dasar Penamat Generasi (GEG) selain memperbanyakkan program berhenti merokok dilaksanakan.
Khairy pada masa sama menegaskan KKM bertekad menangani isu pasaran gelap rokok yang didakwa sesetengah pihak berisiko meningkat kesan daripada pelaksanaan RUU ini kelak.
“Kita akan bekerjasama dengan polis, pihak kastam, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan KPDNHEP (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna) untuk banteras isu pasaran gelap rokok selain mengetatkan penguatkuasaan di sempadan.
“Secara logiknya, apabila amalan tidak merokok menjadi norma sosial dalam kalangan yang lahir pada 2007 dan seterusnya maka permintaan akan menurun begitu juga bagi rokok di pasaran gelap,” katanya.
Khairy berkata, melalui RUU ini juga, larangan penjualan termasuk juga di platform atas talian dengan tindakan akan diambil dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) bagi kesalahan itu.
Katanya, bagi penjualan di premis fizikal termasuk kedai runcit, beberapa mekanisme sedang dipertimbangkan termasuk penggunaan kod QR, aplikasi atau kad pengenalan.
“Kita memutuskan untuk anjakkan daripada 2005 hingga 2007 sebab dalam tempoh dua tahun pelaksanaan ini adanya libat urus dengan kedai runcit dan operator vape bagi pelaksanaan mekanisme yang sesuai kerana kita tidak mahu menyusahkan penjual dan pengguna yang sah untuk membeli rokok,” katanya.
Beliau berkata, pelaksanaan perundangan ini kelak tidak akan memberi impak kepada sektor ekonomi dalam masa terdekat sebaliknya ia mengambil masa 20 hingga 30 tahun sebelum pasarannya menjadi sangat kecil.
Katanya, sehingga kini industri tembakau hanya menyumbang sebanyak 0.18 peratus daripada keseluruhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia hanyalah kira-kira 0.18 peratus sedangkan kehilangan produktiviti negara lagi tinggi akibat kekhilatan daripada merokok.
Mengenai silibus berkaitan bahaya merokok dalam sistem pendidikan negara, Khairy berkata, ia sudah ada namun akan ditambah dengan ayat ‘tahniah anda adalah generasi GEG’ di buku teks.
Beliau berkata, KKM mengeluarkan kompauan berkaitan kesalahan merokok di kawasan larangan termasuk premis makanan dengan sebanyak 30,000 dikeluarkan pada Januari hingga Jun tahun ini.
-Harian Metro