KUALA LUMPUR: Lanjutan penguatkuasaan subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 SOSMA bagi mengekalkan tempoh tahanan 28 hari diluluskan menerusi undi belah bahagian di Dewan Rakyat hari ini.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Subseksyen berkenaan akan terus berkuat kuasa selama lima tahun lagi selepas tarikh tamatnya pada 31 Julai ini.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun berkata, seramai 111 ahli Parlimen bersetuju dan menyokong usul tersebut, manakala 88 ahli Parlimen tidak bersetuju dan 21 ahli Parlimen tidak hadir.
“Maka, usul disetujukan,” katanya ringkas semasa mempengerusikan mesyuarat di Dewan Rakyat hari ini.
SOSMA yang berkuat kuasa 22 Jun 2012 menyediakan langkah-langkah khas bagi menangani ancaman kedaulatan negara dan mengekalkan ketenteraman awam, selain menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
Hamzah dalam penghujahannya hari ini berkata, walaupun akta itu memperuntukkan 28 hari untuk melakukan siasatan, namun, pihak polis hanya mempunyai 21 hari untuk berbuat demikian kerana perlu menyerahkan kertas siasatan lengkap kepada Jabatan Peguam Negara, tujuh hari sebelum tamat tempoh 28 hari itu.
Katanya, lanjutan subseksyen kali ini memberi keadilan kepada orang yang ditahan supaya berjumpa dengan peguam dan dibicarakan di Mahkamah Tinggi.
Baru-baru ini, Dewan Rakyat meluluskan usul dibawa Hamzah bagi membatalkan keputusan yang dibuat pada mesyuarat Parlimen, Mac lalu yang menolak penguatkuasaannya bagi membolehkan tempoh tahanan 28 hari dikekalkan untuk lima tahun lagi.
Parlimen memperuntukkan klausa matahari terbenam (sunset clause), untuk menyemak semula peruntukan tersebut setiap lima tahun.
Pada 23 Mac lalu, Hamzah telah membentangkan usul lanjutan tersebut kali pertama, namun gagal mendapatkan sokongan ahli Dewan Rakyat kerana 86 ahli Parlimen tidak bersetuju berbanding 85 yang bersetuju manakala 49 ahli Parlimen tidak hadir.
UtusanOnline-