KUALA LUMPUR : Mahkamah Tinggi hari ini menolak permohonan pasukan pembelaan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi supaya menangguhkan perbicaraan kes bekas Timbalan Perdana Menteri itu hingga rayuannya mendapatkan salinan keterangan saksi daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diputuskan Mahkamah Rayuan.
Ikuti Mynewshub:Â Telegram
Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah memutuskan demikian kerana mendapati tiada keadaan khas bagi membenarkan permohonan itu selain Ahmad Zahid tidak akan diprejudis ketika prosiding bela diri didengar di mahkamah.
“Mahkamah berpendapat Ahmad Zahid bebas menemubual saksi pada bila-bila masa kerana kebanyakannya terdiri daripada ahli keluarga, malah pihak pendakwaan bersedia untuk membantunya dalam hal itu.
“Ahmad Zahid juga masih akan berhadapan perbicaraan secara adil walaupun mahkamah menolak permohonan itu. Perbicaraan akan diteruskan dengan pemeriksaan balas,” katanya.
Terdahulu, peguam Ahmad Zahid, Hisyam Teh Poh Teik berkata anak guamnya perlu berhadapan prosiding mahkamah dalam situasi yang lengkap dan menyeluruh mengikut undang-undang.
“Ahmad Zahid mesti dibicarakan seperti orang lain dan sangat penting supaya mahkamah memelihara institusi undang-undang ini.
“Anak guam juga pernah diberikan cuti sakit, namun masih hadir perbicaraan. Kita tidak mahu beri alasan mengenai ketidakhadirannya, hanya mahu perbicaraan adil,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Raja Rozela Raja Toran, berkata Ahmad Zahid mempunyai banyak masa untuk mendapatkan salinan itu, namun hanya berbuat demikian pada saat terakhir.
“Perbicaraan ini membabitkan kesalahan serius. Jika mahkamah membenarkan permohonan itu, bila kes ini akan berakhir. Saksi itu pun juga ada yang rapat dengan tertuduh.
“Ahmad Zahid bukan dalam tahanan reman, maka beliau pada bila-bila masa berjumpa dengan mereka untuk lebih bersedia ketika disoal jawab di mahkamah,” katanya.
Perbicaraan yang sepatutnya bersambung petang ini, ditangguhkan esok kerana Ahmad Zahid dan beberapa peguamnya tidak sihat.
Sebelum ini, Ahmad Zahid berkata permohonan itu bukan bertujuan melengah-lengahkan atau melewatkan perbicaraan kerana beliau sudah memberikan keterangan pada peringkat pemeriksaan utama.
Bekas Timbalan Perdana Menteri itu dipetik berkata, haknya untuk mendapatkan perbicaraan yang adil akan terjejas tanpa salinan rakaman percakapan itu dan ingin memberikan keterangan lebih lanjut terhadap pertuduhan dihadapinya.
Saksi itu termasuk anaknya, Datuk Nurulhidayah; adiknya, Datuk Seri Mohamad Nasaee Ahmad Tarmizi dan ahli perniagaan, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa.
Ahmad Zahid mula dibicarakan pada 18 November 2019 terhadap 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya berkaitan pecah amanah, lapan tuduhan rasuah dan 27 tuduhan pengubahan wang haram, puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.
-Berita Harian