PETALING JAYA: Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu mendakwa beliau disiasat Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman susulan dipercayai terlibat dengan aktiviti flash mob membantah kenaikan barang, baru-baru ini.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Perkara itu dimaklumkan Ahli Parlimen Kota Raja itu dalam satu hantaran di Facebooknya, hari ini.
“Saya disoal siasat di Bukit Aman pagi ini atas isu membela rakyat, flash mob bantahan kenaikan harga barang dan telefon bimbit saya juga telah dirampas,” jelasnya.
Menurut perkongsian kenyataan peguamnya, Faiz Fadzil dalam hantaran sama, keterangan yang diambil itu berkaitan video pra-flashmob harga barang.
Jelas Faiz, siasatan yang dibuat menurut seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.
“Sesi siasatan berjalan agak panjang memandangkan pihak polis meminta telefon bimbit dirampas walaupun dibantah dengan hujah nas undang-undang. Ini satu tindakan yang tidak wajar memandangkan video tersebut tiada kaitan dengan telefon bimbit Presiden.
“Saya menerima arahan Presiden untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak Polis kerana bertindak melanggar hak privasi dan prinsip keadilan yang dijamin Perlembagaan Persekutuan,” kata Faiz.
UtusanOnline-