KUALA LUMPUR: Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) menyasarkan peningkatan hasil eksport di bawah Program Pembangunan Syarikat Peringkat Pertengahan (MTCDP) kepada RM5 bilion menjelang 2025.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE , Datuk Mohd Mustafa Abdul Aziz, berkata ia akan disumbangkan oleh 380 syarikat pertengahan (MTC) yang menyertai MTCDP.
Katanya, walaupun hanya terdiri daripada dua peratus daripada pertubuhan perniagaan berdaftar, MTC adalah kritikal untuk pengukuhan ekonomi Malaysia.
“Secara kolektif, MTC menyumbang 40 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia dan menyokong 16 peratus tenaga kerja, sekali gus membantu memajukan masyarakat di seluruh negara.
“Di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), program ini bertujuan untuk mencapai peningkatan eksport terkumpul sebanyak RM5 bilion, yang akan disumbangkan oleh 380 MTC di bawah program ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran MTCDP Gelombang ke-8 membabitkan 25 syarikat MTC di sini, hari ini.
Dilancarkan pada 2014, MTCDP ialah satu-satunya program pembangunan pengeksport berimpak tinggi dalam Pelan Pembangunan Lima Tahun Malaysia, bertujuan untuk mempercepatkan pertumbuhan eksport syarikat, meningkatkan daya saing global dan mempromosikan jenama tempatan Malaysia di pasaran global.
Sejak dilancarkan, program ini berjaya memupuk 275 syarikat Malaysia daripada pelbagai sektor dan industri.
Mohd Mustafa berkata, MTCDP akan memberi tumpuan kepada industri berimpak dan pertumbuhan tinggi pada tahun ini, dengan penekanan yang lebih besar pada elemen baharu daya saing global iaitu pendigitalan dan kemampanan.
“Pembangunan MTC di Malaysia juga akan memacu pertumbuhan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS). MTC boleh menjadi mentor atau tunjang kepada PMKS dalam memperkukuh daya saing dan penawaran perniagaan mereka.
“Gelombang 8 MTCDP ini akan menyaksikan 25 syarikat pertengahan yang kukuh dipilih untuk mengambil bahagian dalam program selama sembilan bulan.
“14 MTC adalah daripada sektor pembuatan, dan 11 MTC adalah daripada sektor perkhidmatan. Syarikat-syarikat ini akan terbabit dalam beberapa siri aktiviti utama yang termasuk pembangunan rangka kerja penilaian perniagaan, penilaian sosial dan ekonomi hasil daripada MTCDP, dan program keupayaan berstruktur,” katanya.
BHonline-