NEW DELHI: India melaporkan kes cacar monyet keempat, manakala ibu negaranya, New Delhi mencatatkan kes pertama membabitkan wabak itu, hari ini.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Tiga kes pertama dilaporkan berlaku di daerah selatan Kerala pada 14, 18 dan 22 Julai lalu.
Pesakit dari New Delhi dimasukkan ke hospital kerajaan di ibu kota dan tidak mempunyai sejarah perjalanan luar.
Menurut sumber hospital, pesakit mengalami demam dan luka pada kulit, namun berada dalam keadaan stabil.
Tiga kes cacar monyet yang pertama mempunyai sejarah perjalanan dan tiba dari luar negara beberapa hari sebelum disahkan positif.
Semalam, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan cacar monyet sebagai kecemasan kesihatan awam global dengan kebimbangan antarabangsa.
Menurut WHO, penyakit virus itu dipindahkan daripada haiwan yang dijangkiti kepada manusia secara tidak langsung atau sentuhan langsung.
Penularan manusia ke manusia boleh berlaku menerusi sentuhan langsung dengan luka atau kulit yang dijangkiti, termasuk muka ke muka, kulit ke kulit dan titisan pernafasan.
Setakat ini, lebih 16,000 kes cacar monyet dilaporkan di seluruh dunia dari 75 negara dan wilayah.
Data WHO turut menunjukkan lima kematian sudah dicacatkan.
Bernama-