PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menafikan dakwaan kegiatan penculikan kanak-kanak untuk tujuan penjualan organ di negara jiran yang tular di media sosial.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Ketua Komunikasi Korporat Urusetia KPN, PDRM Bukit Aman, Asisten Komisioner A. Skandaguru berkata, mesej palsu itu meminta masyarakat agar berwaspada berkaitan kejadian penculikan sekumpulan kanak-kanak yang diberi bahan terlarang sehingga tidak mampu bercakap dan dibawa menaiki lori ayam bagi tujuan pemindahan organ di negara jiran.
Katanya, mesej itu juga mendakwa pihak berkuasa yang melakukan pemeriksaan ke atas lori berkenaan menjumpai enam enam kanak-kanak di dalam kenderaan itu.
“Tiga daripada kanak-kanak itu pula dikatakan tidak boleh bercakap kerana telah disuntik dengan ubat kimia dan akan dihantar ke negara jiran untuk dibunuh serta organ dalaman mereka dijual.
“PDRM mengesahkan bahawa tiada sebarang laporan polis diterima berkaitan penculikan dan penjualan organ kanak-kanak seperti didakwa oleh mesej tular itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Skandaguru berkata, semakan polis juga mendapati mesej palsu itu telah tular sejak tahun 2017 dan kembali diulang siar di beberapa platform media sosial.
Jelasnya, orang ramai dinasihatkan untuk tidak mudah percaya dengan berita-berita tidak berasas dan tidak ditentukan kesahihannya.
“Mana-mana individu yang dikesan menyebarkan berita-berita palsu, boleh disiasat dan didakwa mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi 1998, atas kesalahan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian,” katanya.
UtusanOnline-