PUTRAJAYA: Pengembara yang memasuki Malaysia tidak perlu lagi mengisi dan melengkapkan ciri-ciri Kad Pengembara dalam aplikasi MySejahtera berkuat kuasa 1 Ogos ini.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, kelonggaran ini diputuskan berikutan keadaan sistem kesihatan kini berada pada tahap yang baik dan terkawal selain memudahkan prosedur kemasukan pengembara ke Malaysia.
Menurut beliau, kementerian sentiasa mempergiatkan aktiviti pemantauan gejala dalam kalangan pengembara di semua pintu masuk antarabangsa (PMA) Malaysia.
“Ketika ketibaan di PMA, sekiranya pengembara dikesan demam melalui pengimbas suhu (thermal scanner) ataupun didapati tidak sihat melalui rujukan kendiri oleh pengembara, mereka akan dirujuk untuk pemeriksaan semula oleh pihak kesihatan.
“Selepas penilaian kesihatan dibuat dan sekiranya disyaki menghidap penyakit berjangkit seperti Covid-19, cacar monyet, MERS-CoV atau lain-
lain, mereka akan dirujuk ke fasiliti kesihatan berhampiran untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut,” katanya menerusi kenyataan akhbar hari ini.
Katanya, semua pengembara yang baru tiba dari luar negara hendaklah mengamalkan pemantauan status kesihatan kendiri, mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan dinasihatkan untuk pergi ke fasiliti kesihatan berhampiran untuk pemeriksaan sekiranya didapati tidak sihat.
UtusanOnline-