DODOMA, TANZANIA – Sejenis penyakit misteri yang menyebabkan simptom seperti demam, sakit kepala, keletihan dan hidung berdarah menular di tenggara Tanzania, lapor laman berita RT semalam.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Wabak misteri itu meragut tiga nyawa setakat ini, manakala 10 yang lain masih dijangkiti.
Ketua Pegawai Perubatan Tanzania, Aifello Sichalwe berkata, pasukan doktor dan pakar kesihatan telah dihantar ke lokasi wabak untuk menjalankan siasatan.
Menurutnya, meskipun gejala penyakit itu adalah menyerupai demam berdarah Ebola dan virus Marburg, semua pesakit terbabit disahkan negatif bagi kedua-dua penyakit tersebut termasuk Covid-19.
“Daripada 13 kes yang dilaporkan di wilayah Lindi, hanya seorang pesakit telah sembuh. Tiga lagi meninggal dunia, manakala selebihnya sedang menjalani kuarantin,” kata Sichalwe.
Sementara itu, Presiden Samia Suluhu Hassan berkata pada Selasa lalu bahawa penyakit ganjil itu mungkin berpunca daripada perkembangan interaksi antara manusia dan haiwan liar. Beliau menyalahkan pencemaran alam sekitar sebagai menjadi punca kepada keadaan tersebut.
Samia bagaimanapun tidak menjelaskan secara terperinci mengenai sama ada terdapat spesies haiwan tertentu yang menjadi punca atau memberikan bukti berhubung dakwaan tersebut.
Kosmo-