Seorang banduan Malaysia yang sedang menunggu hukuman mati di Singapura telah memfailkan notis usul kepada Mahkamah Rayuan negara itu untuk menangguhkan pelaksanaan hukumannya, menurut Lawyers for Liberty (LFL).
Ikuti Mynewshub: Telegram
LFL berkata permohonan penangguhan Kalwant Singh akan didengar hari ini, 6 Julai, iaitu sehari sebelum hukumannya dijadual dilaksanakan.
“Permohonan penangguhan Kalwant akan didengar oleh panel tiga hakim di Mahkamah Rayuan pada 6 Julai jam tiga petang, iaitu sehari sebelum pelaksanaan hukuman mati yang dijadualkan,” kata NGO itu dalam kenyataan.
Kalwant juga telah memfailkan semakan terhadap sabitan dan hukumannya, kata NGO itu lagi.
Kalwant ditahan atas kesalahan memiliki 60.15g diamorphine dan mengedar 120.9g diamorphine pada 2013 dan disabitkan pada 2016 di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah.
Menurut LFL lagi, keluarga Kalwant, dari Cameron Highlands, hanya dimaklumkan pada 30 Jun lalu mengenai tarikh pelaksanaan hukuman matinya.
LFL, bersama beberapa kumpulan lain, sebelum ini menggesa kerajaan Singapura untuk menghentikan hukuman matinya.
Pengarahnya, Zaid Malek berkata Kalwant hanya salah seorang dalam senarai panjang rakyat Malaysia sedang menunggu dihukum gantung di Singapura.
“(Ini) walaupun kritikan demi kritikan yang diterimanya (Singapura) daripada masyarakat antarabangsa kerana hukuman mati ke atas keldai dadah bawahan,” tambahnya.
Kumpulan hak asasi manusia Sebaran Kasih juga bersuara untuk Kalwant, dengan mengatakan bahawa dia hanya berusia 23 tahun ketika ditangkap.
Kumpulan itu berkata Kalwant telah menghabiskan lebih daripada sembilan tahun di penjara, di mana dia telah dikenakan kurungan bersendirian di dalam sel kecil untuk tempoh yang lama.
Pelaksanaan hukuman gantung ini berlaku dua bulan selepas hukuman mati terhadap Nagaenthran Dharmalingam, seorang lelaki kurang upaya intelek yang dihukum mati pada 27 April atas tuduhan mengedar dadah.
-Malaysia Kini