Johor Bahru : Tempoh tahanan reman lelaki disyaki terbabit kes bunuh isteri dan anak di Kampung Bakar Batu, di sini 4 Julai lalu, dilanjutkan tujuh hari lagi.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, lanjutan sehingga Isnin depan.
“Polis memperoleh kebenaran lanjutan reman mulai 12 Julai hingga 18 Julai,” katanya di sini, hari ini.
Menurutnya, permohonan lanjutan reman itu dibuat untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, suspek berusia 25 tahun itu dibawa ke Mahkamah Majistret untuk lanjutan reman dan tiba pada 9.15 pagi.
Sebelum ini, reman suspek yang bermula 5 Julai lalu berakhir hari ini.
Dalam kejadian 4 Julai lalu, Hajar Nursyahirin Rosman, 26, dan bayi lelakinya, Hans Mohd Thakif Amir ditemui meninggal dunia dengan kesan luka dipercayai dikelar dan suspek ditahan polis pada 2.45 petang hari kejadian di kawasan Permas Jaya.
Kelmarin, Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat memaklumkan pihaknya sudah merakam keterangan 11 individu.
-Harian Metro