MOSCOW: Pihak berkuasa yang diwujudkan Russia di wilayah Zaporizhzhia, Ukraine memaklumkan satu perjanjian berjaya dicapai untuk penjualan bijirin ke luar negara terutama ke Asia Barat, lapor agensi berita negara Russia, TASS.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Sebelum ini, Ukraine menuduh Russia, pengeksport gandum terbesar dunia, mencuri bijirin dari wilayahnya yang dirampas tentera negara itu, namun perkara terbabit dinafikan Moscow.
Perang Russia-Ukraine sejak beberapa bulan lalu menjejaskan eksport bijirin Ukraine melalui Laut Hitam.
TASS yang memetik Ketua Pentadbiran Wilayah Zaporizhzhia yang ditadbir pihak berkuasa Russia, Yevgeny Balitsky, berkata perjanjian itu akan membabitkan penjualan bijirin ke Iraq, Iran dan Arab Saudi.
Beliau berkata, ia membabitkan kontrak untuk membekalkan 150,000 tan bijirin kepada Iran.
Sehubungan itu, pemborong Russia dan syarikat pertanian didakwa mendapatkan bekalan bijirin yang dibeli daripada petani dari wilayah itu.
“Harga pada ketika ini adalah berpatutan. Petani memperoleh kira-kira AS$200 bagi setiap tan bijirin yang mana ia adalah baik dengan kos pengeluarannya sekitar AS$120,” kata Balitsky kepada TASS.
Harga untuk gandum Russia dengan kandungan protein 12.5 peratus dan bagi bekalan dari pelabuhan Laut Hitam berada pada $375 setiap tan Percuma Atas Kapal (FOB) pada akhir minggu lalu.
Menurut Balitsky, wilayah terbabit akan menerima 300 gerabak kereta api untuk mempercepatkan bekalan bijirin dari Russia pada minggu ini, selain penghantaran dengan trak.
“Penghantaran menggunakan kereta api masih belum beroperasi dalam jumlah besar-besaran, berikutan kami hanya mempunyai 11 kereta api buat masa ini,” katanya sambil memaklumkan pihaknya turut mempermudahkan operasi di pusat pemeriksaan ke Crimea.
Russia mengambilalih Crimea dari Ukraine pada 2014.
Menurut Balitsky, wilayah itu mempunyai kira-kira 1.5 juta tan bijirin dalam simpanan sebelum permulaan penuaian pada tahun ini.
BHonline-