KUALA LUMPUR : Semua Ahli Parlimen kerajaan, khususnya daripada UMNO dan BERSATU memberi gambaran akan menyokong Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 berkaitan larangan wakil rakyat bertukar parti yang akan dibentang di Dewan Rakyat Rabu ini.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata perkara itu jelas dilihat dalam sesi taklimat dan libat urus RUU itu membabitkan Ahli Parlimen kerajaan hari ini.
Dalam sesi libat urus itu, katanya, hanya sejumlah kecil soalan dibangkitkan berikutan RUU berkenaan sudah melalui proses perbincangan mendalam dalam Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen dianggotai Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.
“Dalam sesi libat urus tadi, memang tiada (penentangan dan penolakan terhadap RUU Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022) kerana semua orang menunggu RUU ini.
“Ada tiga, empat persoalan dibangkitkan tadi tetapi kebanyakannya berhubung dengan hal ehwal dalam Dewan, misalnya Ahli Parlimen minta diberi tempoh sekurang-kurangnya 10 minit untuk membahaskan RUU ini.
“Jadi, saya akan berbincang dengan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun berhubung perkara ini,” katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan BERSATU secara kolektif tidak bersetuju dengan syarat kerusi dikosongkan bagi mana-mana Ahli Parlimen yang dipecat kerana melompat parti, sekali gus memberi laluan kepada Pilihan Raya Kecil (PRK) diadakan.
Namun, Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Wan Saiful Wan Jan menafikan laporan berkenaan dan menegaskan komitmen parti itu dengan menghantar wakil ke sesi perbincangan mengenai RUU terbabit.
-Berita Harian