BATU PAHAT : Kerajaan Persekutuan disaran menyalurkan bekalan minyak masak bersubsidi terus kepada golongan asnaf di setiap negeri.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd Fared Mohd Khalid, berkata tindakan itu perlu bagi mengurangkan beban golongan asnaf dalam keadaan inflasi.
“Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) juga telah diminta untuk berbincang dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bagi menjadi pengantara menyimpan dan mengedar minyak masak subsidi untuk golongan asnaf,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Johor Bersih Peringkat Mukim-Mukim Daerah Batu Pahat di Kampung Bintang dekat sini, hari ini.
Fared berkata, golongan asnaf tetap perlu membeli minyak masak dengan harga subsidi dan pembayaran perlu dibuat di MAIJ dan bekalan minyak berkenaan akan terus diedarkan dari rumah ke rumah.
“Secara praktikalnya pembahagian minyak masak bersubsidi perlu diberi terus kepada golongan sasaran berbanding kepada pemborong dan tidak timbul isu tidak cukup bekalan minyak masak di pasaran.
“Saya mencadangkan Kerajaan Persekutuan mempertimbangkan pengagihan bekalan minyak masak kepada asnaf di setiap negeri melalui kerajaan negeri masing-masing,” katanya.
Katanya, kerajaan Johor sudah bersedia untuk menerima tanggungjawab tambahan bagi menangani isu keperluan rakyat ketika ini.
-Berita Harian