BANGKOK – Pihak berkuasa kesihatan awam Thailand mendesak orang ramai agar mematuhi tempoh kuarantin kendiri selama 10 hari jika disahkan positif Covid-19, lapor laman berita Thaiger semalam.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Jurucakap Kementerian Kesihatan Awam, Dr. Rungrueng Kitphati berkata, orang ramai perlu memakai pelitup muka jika mereka terpaksa meninggalkan rumah seperti ke hospital.
Rungrueng menambah bahawa pesakit juga harus tinggal di bilik yang mempunyai pengudaraan yang baik dan jauh dari orang lain semasa menjalani kuarantin kendiri.
Beliau turut mengesyorkan pesakit agar menggunakan bilik air berasingan. Jika tidak dapat dilakukan, semua permukaan mesti dinyahkuman selepas pesakit menggunakan bilik air.
“Kami mendapati sebilangan pesakit gagal menuruti arahan kuarantin kendiri selama 10 hari dan mereka keluar dari rumah. Mereka berkemungkinan menyebarkan penyakit itu kepada orang lain,” katanya.
Walaupun dunia kelihatan kembali normal, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran bahawa pandemik Covid-19 masih belum berakhir.
Bagaimanapun, penduduk di Thailand dan kebanyakan negara lain dikatakan sudah muak dengan sekatan kesihatan yang dijalankan pihak berkuasa.
Kosmo-