KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat hari ini meluluskan usul bagi membatalkan keputusan Dewan Rakyat pada 23 Mac lalu, yang menolak usul melanjutkan tempoh kuat kuasa Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) untuk lima tahun lagi.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Usul itu diluluskan selepas undi belah bahagian dilakukan, dengan 105 Ahli Parlimen menyokong dan 83 Ahli Parlimen membantah, manakala 32 Ahli Parlimen tidak hadir.
Keputusan itu membolehkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengemukakan semula usul untuk melanjutkan tempoh kuat kuasa Subseksyen 4(5) SOSMA yang akan berakhir 31 Julai ini di Dewan Rakyat, dijangka pada minggu depan.
Pada 23 Mac lalu, usul bagi melanjutkan tempoh kuat kuasa Subseksyen 4(5) SOSMA gagal diluluskan di Dewan Rakyat selepas keputusan undian belah bahagian menunjukkan hanya 84 Ahli Parlimen menyokong, manakala 86 tidak menyokong dan 50 lagi tidak hadir.
Kegagalan usul itu menyebabkan KDN tidak dapat melanjutkan kuat kuasa Subseksyen 4(5) bermula 31 Julai ini.
Subseksyen 4(5) SOSMA bagi membolehkan polis terus menggunakan kuasa khas bawah subseksyen itu, untuk melanjutkan tempoh penahanan individu yang ditangkap dan ditahan bawah SOSMA hingga 28 hari, tanpa perlu dihadapkan di hadapan majistret.
Ia adalah kali pertama usul sedemikian di bawah Peraturan Mesyuarat 36(3) dibawa ke Dewan Rakyat.
Seramai 14 Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang membahaskan usul pembatalan itu, selepas dikemukakan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.
Hamzah berkata, pembentangan semula usul yang sudah diputuskan Dewan Rakyat dibenarkan dengan membawa usul membatalkan keputusan sebelum ini, terlebih dulu, mengikut Peraturan Mesyuarat 36(3).
Katanya, jika tempoh 28 hari itu yang termaktub di bawah Subseksyen 4(5) SOSMA tidak dilanjutkan, KDN bimbang usaha untuk menangani kumpulan jenayah terancang dan ancaman kumpulan keganasan akan terjejas terutama kes yang sedang disiasat pada bulan ini.
“Sebagai contoh, pada 23 Jun lalu, 27 individu ditangkap di bawah SOSMA kerana terbabit dalam kumpulan jenayah terancang yang melakukan pengedaran dadah, pemerasan wang perlindungan, aktiviti judi atas talian dan menjalankan judi loteri wang haram, selain beberapa kes pada pertengahan bulan ini, termasuk 17 individu dalam kes penyeludupan migran.
“Kita percaya jika suspek ini dilepaskan, suspek ini boleh mengganggu rantaian bukti dan kesannya jenayah keselamatan ini akan semakin berleluasa.
“Di atas justifikasi yang saya nyatakan, saya ingin memohon pertimbangan semua ahli Yang Berhormat, untuk sama-sama memikirkan demi kepentingan kedaulatan negara, kepentingan umum, keselamatan dan ketenteraman awam, supaya menyokong usul ini untuk membolehkan usul perlanjutan Subseksyen 4(5) SOSMA dibentangkan semula pada sesi ini,” katanya.
Sementara itu, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun, berkata usul yang dibawa di bawah Peraturan Mesyuarat 36(3) itu bukan usul primer, justeru perbahasan mengenainya perlu menjurus kepada persoalan sama ada ia perlu dibatalkan atau sebaliknya, bukan kepada merit usul primer.
“Saya perlu menjelaskan perkara ini kerana kita tiada duluan kes lagi mengikut Peraturan 36(3) ini, ini kali pertama,” katanya.
BHonline-