ALOR GAJAH: Seorang wanita maut digilis sebuah lori apabila motosikal ditungganginya dipercayai bergesel dengan kenderaan berat itu di persimpangan lampu isyarat Taman Mutiara, di sini, pagi tadi.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Dalam nahas kira-kira jam 9.40 pagi itu, mangsa dikenali sebagai S S Chandra, 60, disahkan meninggal dunia selepas hampir dua jam dirawat di Hospital Alor Gajah.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu, berkata siasatan mendapati kedua-dua kenderaan dari Taman Mutiara menghala ke Pengkalan.
Katanya, kemalangan berlaku apabila motosikal mangsa dipercayai bergesel dengan lori terbabit sehingga penunggang wanita itu terjatuh dan digilis di bahagian tayar belakang sebelah kiri.
“Mangsa yang cedera pada kaki kemudian dihantar ke Hospital Alor untuk rawatan lanjut.
“Pada jam 11.40 pagi polis menerima maklumat dari hospital bahawa penunggang wanita itu meninggal dunia ketika menerima rawatan,” katanya dalam kenyataan di sini.
Beliau berkata, pemandu lori berusia 59 tahun itu tidak cedera dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
BHonline-