JAKARTA – Kementerian Luar Indonesia memaklumkan 55 rakyat negara itu yang menjadi mangsa sindiket penipuan dengan taktik penempatan kerja di Kemboja telah berjaya diselamatkan, lapor stesen penyiaran CNN Indonesia kelmarin.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Menterinya, Retno Marsudi berkata, lima lagi warganegara Indonesia yang turut menjadi mangsa tawanan sebuah syarikat pelaburan haram masih dalam proses pemindahan.
“Malam ini, kami mendapat maklumat 55 warga Indonesia telah diselamatkan, lima lagi masih dalam proses pemindahan dan lima yang lain sedang diusahakan untuk dipindahkan,” kata Retno dalam sidang akhbar secara maya.
Retno menjelaskan bahawa pihaknya terus berhubung dengan pihak berkaitan sejak menerima maklumat mengenai berpuluh-puluh warga Indonesia yang menjadi mangsa penipuan.
Pada Jumaat lalu, kementeriannya turut berhubung secara langsung dengan Menteri Luar Kemboja, Prak Sokhonn untuk meminta bantuan berkaitan usaha menyelamatkan berpuluh-puluh warga Indonesia.
“Menteri Luar Kemboja segera memberi maklum balas dan berkata akan bekerjasama dengan polis negara itu berhubung isu ini,” kata Retno.
Selain itu, Retno berkata, 55 warga Indonesia yang diselamatkan berada dalam keadaan sihat. Mereka akan disoal siasat oleh polis Kemboja untuk proses siasatan berkaitan kes penipuan itu.
“Mereka akan diserahkan ke Kedutaan Indonesia di Phnom Penh dan akan dipindahkan dari Sihanoukville ke Phnom Penh,” katanya.
Kosmo-