PUTRAJAYA: Sebanyak 52,522 prosedur bagi kes tertunggak dilaksanakan iaitu meliputi 48,952 kes berkaitan prosedur pembedahan dan 3,570 kes berkaitan prosedur bukan pembedahan sehingga 31 Julai lalu.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, semua prosedur yang dilaksanakan menjadikan sebanyak 92 peratus daripada jumlah kes tertunggak yang direkodkan pada September tahun lalu berjaya diselesaikan.
Menurut beliau, jumlah kes yang masih tertunggak sehingga 31 Julai lalu adalah sebanyak 4,833 kes dan hanya melibatkan prosedur pembedahan daripada disiplin pembedahan pediatrik dan pembedahan kardiotorasik.
“Kejayaan ini adalah melalui inisiatif Kementerian Kesihatan (KKM) iaitu penyumberluaran pesakit KKM ke hospital swasta; pembukaan semula dewan-dewan bedah elektif di hospital-hospital KKM secara berperingkat bermula Oktober 2021; inisiatif pembedahan elektif hari Sabtu dari pukul 8 pagi hingga 5 petang di hospital-hospital berpakar di seluruh negara bermula pada Disember 2021,” kata beliau dalam kenyataan hari ini.
Selain itu, kata beliau, KKM mengambil inisiatif melakukan pembedahan secara besar-besaran di beberapa buah negeri seperti di Hospital Selayang pada bulan Februari 2022; Mass Cataract Surgery Initiative di Hospital Tawau pada bulan Mac 2022 dan Tawau Surgical Carnival Initiative di Hospital Tawau pada bulan Jun lalu.
Tertunggak
Kata memberitahu, berdasarkan data sehingga 30 September tahun lalu, ia menunjukkan terdapat 57,355 kes tertunggak di hospital-hospital KKM yang meliputi 53,785 kes berkaitan prosedur pembedahan dan 3,570 kes berkaitan prosedur bukan pembedahan.
“Kes-kes surgical-based adalah meliputi pembedahan am, pembedahan neuro, pembedahan pediatrik, pembedahan plastik dan rekonstruktif, pembedahan kardiotorasik, pembedahan vaskular, urologi, ginekologi, ortopedik, oftalmologi dan otorinolaringologi.
“Manakala kes medical-based termasuklah sleep study, lung function test, stem cell procedure, radiotherapy and CT simulation dan koronari angiography,” katanya.
Tambahnya, pandemik Covid-19 memberi impak terhadap sistem dan perkhidmatan kesihatan di seluruh negara dengan menyaksikan kes-kes
bukan Covid-19, terutamanya kes-kes pembedahan elektif turut terkesan dan terpaksa ditunda semasa kemuncak pandemik
“Biarpun begitu, pihak KKM akan terus berusaha untuk mempertingkatkan perkhidmatan kesihatan kepada seluruh Keluarga Malaysia dan komited untuk menyelesaikan baki 4,833 kes yang masih tertunggak dalam tempoh masa terdekat ini,” katanya.
UtusanOnline-