PETALING JAYA : Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menggesa ahli parti itu memberi sokongan kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang berdepan saat sukar dalam rayuan kes SRC International di Mahkamah Persekutuan.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Bagaimanapun, kata Ahmad Zahid, keputusan Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Najib untuk mengemukakan keterangan baharu dalam rayuan terakhirnya adalah keputusan mahkamah dan ia perlu dihormati bagi mengelak dikatakan menghina mahkamah.
“Namun, sebagai rakyat, ahli dan pemimpin parti, keputusan tersebut tidak menghalang kami terus bersama perjuangan beliau (Najib) dalam parti dan kes yang sedang dibicarakan. Memang keadilan itu suatu perjalanan yang panjang.
“Marilah kita terus bersatu hati, bersolidariti bersama Najib. Jangan putus asa, terus tabah dan terus berjuanglah bersama kita. Terlalu banyak jasa dan sumbangan beliau telah berikan untuk UMNO, BN dan kerajaan yang tidak dapat dilupuskan dalam sejarah negara.
“Ketika Pakatan Harapan (PH) memerintah 22 bulan beliau berjaya menangkis serangan terhadap UMNO di kala UMNO diperlekeh dan cuba dikuburkan oleh musuh politik,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebooknya.
Menurut Ahmad Zahid, melalui laman Facebook, bekas Perdana Menteri itu berjaya menjawab serangan pembangkang dan musuh dalam selimut dengan data dan fakta.
“Ketika PRN Sabah, Melaka dan Johor, beliau berkampung dan berkempen membantu kemenangan UMNO dan BN. Inilah Najib yang kita hormati memperjuangkan UMNO. Perlu diakui media sosial FB Najib sangat berpengaruh di negara ini.
“Beliau ialah Raja Media Sosial dan berjaya membantu memulihkan UMNO lebih cepat hingga mereka yang pernah menjauhi dan memperlekeh UMNO sebelum ini dilihat bukan sahaja mahu mendekati malah mahu menguasai UMNO pula sekarang.
“Insya-Allah, kita di setiap akar umbi cawangan dan bahagian UMNO dan BN akan terus bersama Najib dan susah senang bersama. Kita bukan kacang lupakan kulit. Itulah persahabatan dan perjuangan sejati kita dalam UMNO,” katanya.
-Utusan Online