Barangkali masih ada yang kurang pasti apakah akan terjadi kepada tunggakan cukai atau lebihan cukai individu yang telah meninggal dunia.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Sebenarnya persoalan sama ada ia dilupus kira atau sebaliknya pernah diperjelaskan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM)
Justeru, artikel ini bagi membantu mana-mana anggota masyarakat yang mungkin terlepas pandang penjelasan berkenaan perkara itu sebelum ini.
Pertama adalah berhubung kedudukan lebihan cukai yang telah dibayar oleh si mati iaitu si mati telah membayar cukai lebih tinggi berbanding amaun cukai yang dikenakan terhadapnya.
Lebihan cukai ini boleh dituntut secara rasmi daripada LHDNM oleh waris si mati melalui beberapa proses yang amat mudah dan tidak membebankan.
Waris perlu mengemukakan beberapa dokumen penting yang berkaitan antaranya sijil kematian si mati dan Salinan Surat Kuasa Mentadbir atau Geran Probet (Grant of Probate)
Dokumen ini namun mesti diakui sah sama ada oleh Pesuruhjaya Sumpah, Majistret Mahkamah atau kakitangan kerajaan dalam kategori pengurusan dan profesional.
Senarai lengkap dokumen yang perlu dikemukakan boleh diperolehi dengan merujuk rangka kerja pungutan cukai di portal rasmi HASiL di www.hasil.gov.my
Jika terdapat lebih dari satu pentadbir harta pusaka, bayaran balik akan dilakukan atas nama salah satu pentadbir sahaja.
Pertama adalah berhubung kedudukan cukai tertunggak oleh si mati iaitu si mati belum menjelaskan sepenuhnya atau sebahagian cukai yang dikenakan terhadapnya oleh LHDNM.
Berdasarkan Seksyen 74 Akta Cukai Pendapatan 1967, sekiranya seseorang itu telah meninggal dunia maka para pewarisnya akan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap sebarang komitmen kewangan si mati terrmasuklah pengurusan cukai si mati.
Waris si mati boleh dikenakan taksiran seperti mana taksiran dikenakan atas si mati. Taksiran cukai dibuat untuk pendapatan yang diterima sehingga tarikh kematian dan taksiran itu akan dibuat atas nama waris yang sah.
Sebarang pendapatan yang diperoleh selepas tarikh kematian tidak akan dianggap pendapatan si mati.
Semua pendapatan selepas tarikh kematian akan dianggap sebagai pendapatan harta pusaka individu si mati dan ditaksir atas nama Waris Sah atau Pentadbir Harta Pusaka.
Satu fail baru akan didaftarkan untuk tujuan menaksir pendapatan harta pusaka pusaka si mati dan kadar cukai dikenakan sama dengan kadar cukai dikenakan atas seseorang individu.
Kuasa menuntut cukai tertunggak si mati daripada waris atau pentadbir harta pusaka diperuntukkan di bawah Seksyen 74 dan Seksyen 106 Akta Cukai Pendapatan 1967.
Bagaimanapun, jika waris atau pentadbir harta pusaka si mati tidak mampu menyelesaikan baki cukai tersebut secara sekali gus, mereka boleh memohon untuk membuat bayaran secara ansuran.
Semoga artikel ulang siar ini sedikit sebanyak membantu pemahaman anda tentang perkara ini.
-Mynewshub