KOTA KINABALU : Sebanyak 50 perjawatan baharu sudah diluluskan untuk memantapkan lagi Biro Kawalan Jenayah Hidupan Liar (WBC) Polis Diraja Malaysia (PDRM), dalam usaha mengekang aktiviti penyeludupan hidupan liar di negara ini.
Ikuti Mynewshub:Â Telegram
Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, berkata kelulusan yang diputuskan kerajaan pada pertengahan Julai lalu itu akan memberi impak berkesan dalam usaha memerangi jenayah berkaitan hidupan liar.
Beliau berkata, ia juga dapat mengawal kegiatan pemburu haram dan aktiviti pemerdagangan serta melindungi spesies yang dilindungi atau terancam.
“Penubuhan WCB ini diharapkan dapat membuka mata banyak pihak bahawa jenayah alam sekitar juga perlu diberikan perhatian dan tindakan penguatkuasaan yang proaktif, selari dengan jenayah konvensional dan bukan konvensional lainnya.
“Seramai 50 anggota polis dan pegawai yang akan bertugas dalam biro berkenaan akan ditempatkan mengikut Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat Operasi Bersepadu Khazanah (OBK), di sini, hari ini.
Turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN), Datuk Abdul Kadir Abu Hashim dan Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Malaysia Datuk Zazuli Johan.
Acryl Sani berkata, biro berkenaan akan menggunakan kepakaran polis dalam bersama-sama membantu PERHILITAN menangani isu terbabit.
Sementara itu, beliau berkata, sejak penubuhan biro berkenaan, operasi penguatkuasaan dilihat semakin meningkat berdasarkan pada statistik OBK, yang merekodkan 60 kes dan 97 tangkapan membabitkan lebih RM3,831,987.30 nilai rampasan bagi tempoh Januari hingga Julai tahun ini.
Katanya, ia meningkat berbanding 30 kes dan 29 tangkapan dengan nilai rampasan RM537,490 bagi tempoh masa sama, tahun lalu.
“Kita percaya momentum ini dapat diteruskan dalam usaha mendokong Matlamat Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goals) mengikut Agenda 2030, dalam pemeliharaan dan pemuliharaan khazanah negara,” katanya.
-Berita Harian