JOHOR BAHRU : Barisan Nasional (BN) meletakkan sasaran 20 kerusi perlu dimenangi BN Johor pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Ikuti Mynewshub: Telegram
Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, sasaran itu menjadikan Johor sebagai penyumbang utama BN dalam usaha parti untuk menubuhkan kerajaan di peringkat Pusat yang kukuh.
Beliau berkata, sasaran itu adalah tugas berat bagi Pengerusi BN Johor, Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad untuk memastikannya mampu dicapai.
“Kita meletakkan satu sasaran yang tinggi untuk BN Johor dengan menyumbang 20 daripada 26 kerusi Parlimen yang dipertandingkan.
SIAP SIAGA
“Saya belum mula melihat kesiapsiagaan Johor, namun saya rasa ringan sedikit kerja selepas BN menang selesa pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lalu.
“Namun begitu, PRU dan PRN adalah dua perkara yang berbeza kerana setiap Parlimen perlu menjaga kawasan masing-masing, kita perlu siap sedia, jentera mesti mantap dan pada tahap paling baik,” katanya dalam sidang akhbar sebelum mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Penyelaras BN Johor di Bangunan Perhubungan UMNO Negeri Johor, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong.
Mohamad yang juga Pengarah Pilihan Raya UMNO berkata, kunjungan ke negeri ini bersama-sama rakan-rakan dari Pusat untuk melihat tahap kesiapsiagaan BN Johor di bawah pimpinan Hasni bagi menghadapi PRU yang boleh diadakan pada bila-bila masa.
Katanya, kemenangan pada PRN lalu tidak seharusnya menjadi ukuran kerana pada PRN lalu jentera diperkuatkan dengan kehadiran keluarga BN, khususnya UMNO turun membantu.
“Pada PRU ini, setiap negeri masing-masing perlu menguruskan jentera pilihan raya secara bersendirian. Itu sebab tahap kesiapsiagaan perlu rapi dan mantap,” katanya.
Sebelum ini Hasan telah mengadakan kunjungan ke Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Wilayah Persekutuan, Selangor, Kelantan dan Terengganu.
Selepas ini, beliau akan berkunjung ke Melaka, Perak, Pahang dan Sabah untuk memantau tahap kesiapsiagaan jentera parti bagi menghadapi PRU15.
-Utusan Online