JOHOR BAHRU : Remaja Austisme yang hilang selepas keluar dari rumah keluarga di Bandar Putra, Kulai, sejak Sabtu lalu, ditemui di Tanah Merah, Kelantan, petang kelmarin.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Bapa tirinya, Mohd Azmi Abdullah, 40, berkata Nur Elyana Adryna Abdul Rahim, 16, ditemukan selamat, namun sedikit kurus dan masih trauma.
Katanya, mereka dimaklumkan orang awam mengenai kedudukan anak keduanya itu, sebelum remaja itu ditemui oleh polis.
“Alhamdulillah, kakak (Nur Elyana) telah ditemui di Tanah Merah, Kelantan. Syukur dia dalam keadaan selamat.
“Ada orang beritahu lokasi dia berada sebelum saya menghubungi bantuan balai polis di sana dan beritahu perkara itu sebelum akhirnya mereka berjaya menemui anak kedua saya.
“Saya dimaklumkan perkara itu oleh pihak polis pada kira-kira pukul 2 petang kelmarin sebelum terus bergegas ke sana,” katanya ketika dihubungi.
Mohd Azmi berkata, anaknya memberitahu dia tidak diberikan makan secukupnya sepanjang tempoh enam hari dibawa individu tidak dikenali.
“Setibanya di sana, saya terus melihat keadaan kakak dan dapati dia dalam keadaan baik, tiada luka atau lebam-lebam cuma sedikit kurus.
“Dia kata tak diberi makan secukupnya sepanjang tempoh enam hari dibawa seseorang individu yang kami tidak kenal, sejak kehilangannya dilaporkan pada Sabtu lalu,” katanya.
Mohd Azmi berkata, polis memaklumkan individu yang bertindak membawa anak keduanya dari Johor sehingga ke Kelantan itu sudah ditangkap.
Katanya, polis juga memberitahu siasatan berhubung perkara itu sedang dibuat.
“Cuma polis tidak maklumkan kepada saya siapakah individu berkenaan. Sama ada pihak tersebut bertindak bersendirian atau secara berkumpulan pun saya tidak tahu,” katanya.
Pada Khamis, akhbar ini menyiarkan kebimbangan sebuah keluarga selepas kehilangan seorang anak remaja Autism.
Mohd Azmi memaklumkan, secara fizikal Nur Elyana kelihatan seperti individu normal lain, namun dia menghidap autism yang menyebabkan pemikirannya seperti seorang kanak-kanak yang berusia 10 tahun dan tidak dapat berfikir secara matang.
-Berita Harian