KOTA TINGGI: Bayi tujuh bulan antara empat beranak maut apabila motosikal ditunggang mereka terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori membawa muatan pasir di Kampung Semanggar, dekat sini petang ini.
Ikuti Mynewshub:Â Telegram
Mangsa, Mohamad Suti Yahaya, 39, dan isteri, Siti Jamaliah Mohd. Yatim, 27, serta dua anak mereka, Nur Firman Hadi Abdul Rahman, 4, dan Nurfatihah Jannah berusia 7 bulan maut di lokasi kejadian akibat cedera parah.
Ibu Siti Jamaliah, Rosni Sintingan, 53, memberitahu, mendapat maklumat tentang kejadian itu kira-kira pukul 3 petang selepas anak buahnya terlihat gambar kemalangan yang menimpa anak dan cucunya itu dalam laman sosial Facebook sebelum ada orang lain yang menghubunginya.
Dia sempat ke lokasi kejadian, namun ketika itu tidak sempat menemui anaknya kerana telah dibawa menaiki kenderaan polis bersama-sama cucunya Nurfatihah Jannah.
“Semasa saya sampai saya dapat lihat menantu dan anak lelakinya sahaja yang masih terbaring di lokasi. Saya tidak tahu mereka pergi ke mana tetapi kalau cuti memang mereka akan berjalan anak beranak mungkin ke pekan Anggerik, Bandar Tenggara atau ke Felda Pasir Raja berjumpa rakannya.
“Mereka anak beranak memang akan menaiki motosikal ke mana sahaja kerana itu sahaja kenderaan yang mereka ada. Sebelum ini mereka pernah juga terlibat kemalangan, namun hanya alami cedera.
“Kami sekeluarga puas juga nasihat suruh mereka beli kereta, namun, katanya tak apa naik motosikal. Tak sangka perkara yang kami bimbangkan berlaku hari ini,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Kota Tinggi.
Ibu kepada tiga orang anak itu berkata, Siti Jamaliah merupakan anak sulungnya dan kali terakhir bertemu anaknya itu pada dua hari lepas.
Ketika itu anak dan menantunya mempunyai urusan di Negeri Sembilan dan menumpangkan sekejap dua anak mereka itu di rumahnya untuk dijaga.
“Mereka pergi berdua menaiki motosikal. Bila balik mereka sempat tidur di rumah datuk mereka sebelum balik ke Mawai bersama dua anaknya itu.
“Masa itu dia seperti biasa sahaja tak ada pun cakap apa-apa yang pelik cuma beritahu ’emak nak balik’. Kami bersalaman masa itu saya nak cium dia tetapi dia tak nak.
“Kemudian mereka anak beranak balik ke rumah walaupun masa itu cuaca agak hujan saya pesan juga jangan balik tetapi mereka sampai di rumah dengan selamat,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Hussin Zamora ketika dihubungi mengesahkan kemalangan tersebut dan punca kemalangan masih dalam siasatan.
UtusanOnline-