PUTRAJAYA – Sebahagian penyokong bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sanggup mengorbankan waktu tidur mereka dengan memulakan perjalanan seawal pukul 12.30 tengah malam tadi dari Chini, Pahang untuk ke Putrajaya.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Kesemua mereka bergerak dari Felda Chini menuju ke Mahkamah Persekutuan di sini menggunakan empat buah bas yang disewa khas sebelum tiba di Putrajaya kira-kira pukul 6 pagi tadi.
Menurut seorang penyokong, Siti Khodijah Abu Bakar, 37, kesanggupan untuk datang ke Putrajaya itu diibaratkan hanya ‘biasa-biasa’ sahaja jika mahu dibandingkan dengan jasa diberikan Najib kepada rakyat.
“Ini pengorbanan saya untuk memberikan sokongan kepada Datuk Seri Najib. Beliau banyak berjasa kepada rakyat khususnya kami penduduk Felda Chini.
“Beliau banyak berjuang buat kami, jadi kerana itulah saya di sini hari ini. Apa jua keputusan, saya tetap akan menyokongnya,” katanya kepada Kosmo! di sini tadi.
Siti Khodijah berkata, dia juga sanggup menutup perniagaannya pada hari ini semata-mata mahu datang ke Putrajaya untuk memberikan sokongan kepada bekas Perdana Menteri.
“Kami sewa bas untuk ramai-ramai ke sini, malah ada yang sanggup bayar tambang RM50 untuk turut serta ke sini. Ini semua demi memberi sokongan kepada Najib,” ujarnya.
Dalam pada itu, seorang lagi penyokong, Salmah Mohamad,60, berkata, segala keputusan bakal diputuskan mahkamah hari ini diterima dengan hati terbuka.
“Apa jua keputusan buat Datuk Seri Najib, kami akan tetap menyokong beliau. Sejak 2018 lagi ketika Barisan Nasional (BN) kalah, sokongan tetap diberikan.
“Bagaimanapun, biarlah keputusan itu memihak kepada beliau, kami mahu dia kembali untuk rakyat Malaysia,” jelasnya.
-Kosmo Online