KOTA KINABALU: Selepas kira-kira 16 jam dilaporkan hilang semasa bermain sekitar kampung di Kampung Kebayau, Kota Belud, sekumpulan tujuh remaja dan kanak-kanak ditemukan selamat, hari ini.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Kesemua mangsa termasuk tiga OKU yang berusia antara tiga hingga 15 tahun itu ditemukan oleh penduduk kampung dan pasukan bomba kira-kira 7.30 pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, Muhammad Syazwan Latun berkata, kesemua mangsa ditemukan pada jarak dua meter dari lokasi terakhir mangsa dilaporkan hilang.
“Kesemua mangsa terutama kanak-kanak berusia tiga tahun kelihatan sedikit lemah kerana kesemua mereka terpaksa berlapar semalaman.
“Biarpun tersesat, kesemua mangsa tidak terus berjalan sebaliknya bertindak berehat di sebuah pondok yang terdapat di kebun getah tersebut,” katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai insiden itu kira-kira pukul 10.49 malam semalam dan sepasukan pegawai dan anggota mengambil laporan semalam dan memulakan operasi mencari dan menyelamat (SAR) pagi tadi.
Berdasarkan laporan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), sekumpulan remaja dan kanak-kanak termasuk tiga Orang Kelainan Upaya (OKU) hilang semasa bermain di kawasan kampung.
Menurut seorang saksi, kali terakhir remaja dan kanak-kanak ini dilihat adalah di kedai runcit pada pukul 3 petang.
Muhammad Syazwan berkata, operasi SAR dimulakan pada pukul 7.16 pagi tadi, iaitu 14 minit sebelum kesemua kumpulan remaja dan kanak ditemukan.
“Semua mangsa diserahkan kepada pihak ambulans untuk menerima pemeriksaan dan rawatan lanjut dan operasi ditamatkan pada pukul 9.30 pagi,” katanya.
Difahamkan, empat daripada mangsa hilang adalah adik beradik iaitu Freddy Kerinsuk, 15; Arni, 13; Alistar, sembilan tahun dan adik mereka, Royce berusia tiga tahun.
Tiga mangsa lain ialah Mecklorn Datine,12, Elson Evan Lie Willie,11, dan Elcy Jackter, lima tahun.
UtusanOnline-