PUTRAJAYA : Pelbagai inisiatif digerakkan Kementerian Sumber Manusia (KSM) berjaya menyumbang kepada pengurangan kadar pengangguran dalam negara sehingga 3.8 peratus pada Jun lalu berbanding 3.9 peratus pada bulan sebelumnya.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Menterinya, Datuk Seri M Saravanan dalam satu kenyataan hari ini, memaklumkan kadar terbaharu itu adalah yang terendah sejak penularan COVID-19 di negara ini.
“KSM terus komited dan teguh bersama membantu golongan pekerja, akan meneruskan pelbagai inisiatif serta mewujudkan lebih banyak program serta mekanisme bagi membantu Keluarga Malaysia mendapatkan pekerjaan dan seterusnya mengurangkan kadar pengangguran negara,” katanya.
Selasa lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata kadar pengangguran pada Jun berkurangan kepada 3.8 peratus, terendah sejak pandemik COVID-19 melanda negara.
Bilangan penganggur berkurang kepada 630,600 orang berbanding 3.9 peratus atau 637,700 pada Mei 2022 dan negara telah mencapai guna tenaga penuh sejak April 2022, kadar pengangguran bawah empat peratus berdasarkan definisi ditetapkan Organisasi Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD).
Mengenai inisiatif dilaksanakan KSM, Saravanan berkata, Program JaminKerja-Insentif Penggajian dapat memanfaatkan pencari kerja dari seluruh negara.
“Program ini berbentuk insentif kewangan diberikan kepada majikan yang membuat pengambilan baharu mulai 1 Januari 2022 dalam kalangan perantis, graduan, golongan mudah terjejas, termasuk orang kurang upaya (OKU), bekas tentera, bekas banduan, warga emas serta penganggur.
“Sehingga 29 Julai lalu, seramai 120,237 pencari kerja berjaya ditempatkan melalui pelbagai aktiviti dilaksanakan KSM,” katanya.
Katanya, bagi Program Perantisan pada 2021, JaminKerja-Insentif Penggajian diteruskan dengan pemberian insentif RM900 sebulan untuk tempoh enam bulan kepada majikan yang menggajikan perantis lepasan sekolah dan graduan berumur 18 hingga 30 tahun dalam jawatan eksekutif.
“Golongan perantis ini ditawarkan kontrak enam bulan dengan bayaran gaji pemula berjumlah RM1,500. Statistik jumlah Program Perantisan JaminKerja-Insentif Penggajian sehingga 29 Julai lalu adalah seramai 5,932 orang,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, kementeriannya turut menubuhkan ‘HRD Corp Placement Centre’ (HPC) yang berperanan sebagai platform padanan pekerjaan yang tersedia oleh majikan.
Sehingga 31 Julai lalu, katanya, sebanyak 43,903 peluang pekerjaan tersedia melalui platform itu dengan lebih 6,000 individu berjaya mendapat pekerjaan dalam pelbagai sektor, termasuk 60 peratus atau 3,600 pekerja dari kalangan belia yang memperoleh gaji RM2,000 dan ke atas.
“Inisiatif PENJANA HRDF pula memperkenalkan lima skim yang terdiri daripada ‘Place & Train’, ‘B40 Development’, ‘SME Development’, ‘Industrial Revolution 4.0’ dan Gerak Insan Gemilang.
“Skim ini bertujuan membantu rakyat termasuk golongan belia dan graduan untuk meningkatkan kemahiran dalam mendapatkan pekerjaan atau bekerja sendiri,” katanya.
-Berita Harian