IPOH : Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) akan memanggil Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pertahanan berhubung isu projek pembinaan kapal tempur pesisir pantai (LCS), Oktober ini.
Ikuti Mynewshub:Â Telegram
Pengerusinya, Wong Kah Woh, berkata ia bagi mendapatkan maklum balas lanjut Kementerian Pertahanan mengenai beberapa syor yang sudah dibentangkan PAC berkaitan isu LCS di Dewan Rakyat, pada 4 Ogos lalu.
“Secara prosedurnya, KSU diberikan masa sebulan untuk menghantar satu laporan tindakan susulan interim terlebih dahulu kepada PAC.
“Dalam tempoh genap dua bulan iaitu pada Oktober, kami akan menetapkan satu tarikh untuk memanggil KSU tampil ke PAC untuk memberikan pembentangan semula kepada PAC mengenai maklum balas dan tindakan lanjut,” katanya ketika diminta mengulas perkembangan terkini isu berkaitan projek LCS.
Beliau berkata demikian pada sidang media khas berkaitan Kerja Menaik taraf Infrastruktur di Taman Pinggir Sungai Pinji, di sini hari ini.
Kah Woh berkata, PAC akan membuat satu laporan mengenai tindakan susulan selepas pembentangan daripada KSU.
“Selepas pembentangan semula itu, kita akan berikan ulasan selanjutnya mengenai laporan kita.
“Ini (pembentangan semula) adalah prosedur biasa, bukan hanya untuk LCS, tetapi untuk mana-mana kes yang disiasat dan dibentang laporan oleh PAC,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, pemadaman nama pemegang saham dan pengarah syarikat terbabit dalam projek LCS untuk proses nyahklasifikasikan sepatutnya tidak perlu dibuat oleh kerajaan.
“Sememangnya kita nampak sekurang-kurangnya ada satu syor yang penting yang sudah dilaksanakan oleh pihak kerajaan iaitu syor nyahklasifikasi atau nyahrahsia laporan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK).
“Kita mahu keseluruhan laporan itu dinyahklasifikasikan tanpa sebarang pemadaman mana-mana bahagianpun.
“Bagi saya, maklumat berhubung siapa pemegang saham dan pengarah dalam syarikat, kesemua ini adalah maklumat terbuka yang boleh diperoleh oleh sesiapa sahaja dari Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM),” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, Laporan JKSTUPKK berhubung projek pembinaan LCS bagi perolehan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sudah dinyahklasifikasikan.
Berdasarkan surat yang dimuat naik, jemaah menteri pada 10 Ogos lalu bersetuju menyahklasifikasikan laporan siasatan berkaitan perolehan enam second generation patrol vessel (SGPV), LCS TLDM, Kementerian Pertahanan.
Sehubungan itu, pihak Pejabat Perdana Menteri mengambil tindakan sewajarnya bagi melaksanakan proses menyahklasifikasikan dokumen berkenaan.
Minggu lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata, Mesyuarat Jemaah Menteri memutuskan supaya Laporan JKSTUPKK yang dipengerusikan oleh bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang, dibenarkan untuk disiarkan kepada umum.
-Berita Harian