Berkuat kuasa pada 1 September ini, pindaan kepada Akta Kerja 1955 akan menyaksikan pengurangan waktu kerja mingguan daripada 48 jam kepada 45 jam, kata Timbalan Menteri Sumber Manusia, Awang Hashim.
Ikuti Mynewshub:Â Telegram
Menurutnya, selain membolehkan pekerja menggunakan susunan waktu bekerja yang lebih fleksibel, pindaan itu juga bertujuan menjaga kebajikan pekerja serta memberi kelonggaran dalam waktu kerja, selaras dengan Konvensyen Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).
Awang berkata, mengikut peraturan baru itu, pekerja dibenarkan bekerja mengikut kesesuaian tempat, waktu dan hari bekerja termasuklah bekerja dari rumah ketika situasi kecemasan seperti pandemik Covid-19.
“Setakat hari ini, tiada cadangan atau libat urus untuk pihak kementerian laksanakan berhubung kerja empat hari seminggu,” katanya yang dipetik oleh Bernama, ketika menjawab soalan Senator Nasir Hashim, Selasa lalu berhubung dasar kerajaan tentang kerja empat hari seminggu.
Sebelum ini, Awang memaklumkan bahawa pekerja boleh memohon Aturan Kerja Fleksibel (AKF) kepada majikan masing-masing mengikut pindaan Akta Kerja 1955 berkuatkuasa 1 September.
Pekerja hanya perlu membuat surat permohonan berkenaan kepada majikan sama ada memohon perubahan waktu bekerja, hari bekerja dan perubahan tempat kerja.
Majikan pula, katanya perlu memberi jawapan dalam tempoh 60 hari, menyatakan sama ada menerima atau menolak permohonan dengan alasan yang perlu dinyatakan.
-Malaysia Kini