KUALA LUMPUR : Mahkamah Sesyen di sini hari ini, diberitahu dua kesan lecur pada kedua-dua tangan remaja dikenali Bella, berkemungkinan besar berpunca daripada air panas.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Pakar Bedah Plastik Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Salmi Mohamed Shukur, 46, berkata perkara itu diketahui menerusi laporan pegawai perubatan, Dr Sheshadri Sridar, yang merawat remaja terbabit di HKL pada 26 Jun tahun lalu.
Saksi pendakwaan ke-15 itu berkata, Bella sepatutnya ditempatkan di wad tiga yang dipantau beliau namun dipindahkan sementara ke wad 15 selepas disahkan positif COVID-19.
Dr Salmi memberitahu, beliau melihat sendiri kesan lecur dan keadaan Bella di wad 15 dengan memakai peralatan perlindungan peribadi (PPE).
Ketika membuat rondaan di wad 15 pada jam 11 pagi hari terbabit, katanya, Bella kelihatan gelisah dan pihaknya memastikan remaja itu duduk di katilnya.
Beliau berkata, ada masanya Bella dilihat melukis dan duduk diam di kerusi dengan perlakuan seperti kanak-kanak yang ketara tidak gembira jika berasa demikian.
“Luka tangan kiri Bella satu peratus lecur, manakala luka tangan kanan lecur 0.5 peratus. Selain membuat diagnosis terhadap tangan itu, saya lihat jika ada kesan bengkak, panas dan kemerahan bagi simptom jangkitan kuman.
“Lebih bagus untuk tahu punca lecur daripada pesakit. Saya mendekati Bella tetapi dia tak maklumkan puncanya dan saya tidak mahu paksa dia. Berdasarkan kesan lecur, saya anggap kecederaan itu sudah tiga minggu.
“Lecur yang tiada jangkitan boleh pulih dalam dua minggu. Kalau lebih tiga minggu, kita kena tahu jika ada jangkitan sebab itu perlu membuat cucian luka setiap hari,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad dalam perbicaraan kes pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali yang didakwa mengabai dan menganiaya Bella, hari ini.
Perbicaraan berlangsung di hadapan Hakim Izralizam Sanusi.
Siti Bainun, 30, menghadapi dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya remaja perempuan itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi.
Dia dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah kondominium di Wangsa Maju di sini di antara Februari dan Jun 2021.
Pertuduhan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Ditanya keadaan Bella ketika dirawat dan dicuci kesan lecur, Dr Salmi memaklumkan, remaja terbabit menangis.
Katanya, pegawai perubatan tidak menggunakan kekerasan seperti mengikat Bella, namun perlu memegang remaja itu supaya tiada pergerakan.
“Tangan kanan Bella pulih pada 23 Julai 2021, kira-kira sebulan rawatan. Tangan kiri lambat sikit pulih iaitu pada 17 Ogos, luka baik dalam masa enam minggu.
“Kali terakhir saya berjumpa Bella di klinik HKL sebagai doktor ialah pada 14 September 2021. Penjaga Bella memohon remaja itu dipindahkan ke Hospital Seremban. Saya tengok luka itu baru nak jadi parut,” katanya.
Susulan keterangan itu, Nor Azizah memohon Dr Salmi melihat kesan lecur di tangan Bella yang hadir pada prosiding mahkamah bagi proses pengecaman.
“Tangan kanan ada parut yang sudah matang sebab kurang merah berbanding asal sebab dulu tebal. Tangan kiri pula parut masih merah dan tebal.
“Parut itu masih memerlukan rawatan. Dari segi penjagaan, ia bagus setakat ini,” katanya.
-Berita Harian