KUALA KANGSAR : Ribuan tin sardin bertaburan selepas sebuah lori kontena membawa muatan itu terbabas dan terbalik di Kilometer 265.9, Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan di sini, hari ini.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Kejadian sekitar pukul 1 petang itu menyebabkan kesesakan trafik lebih tiga kilometer apabila laluan ke selatan ditutup sepenuhnya kepada kenderaan.
Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Omar Bakhtiar Yaacob berkata, laluan ke selatan terpaksa ditutup sementara bagi membolehkan kerja-kerja pembersihan dan mengalihkan kenderaan dijalankan.
Katanya, semua kenderaan arah selatan dilencongkan keluar di Plaza Tol Kuala Kangsar melalui Sungai Siput untuk ke Ipoh.
“Keadaan lori kontena yang melintang jalan menyebabkan laluan arah selatan terpaksa ditutup sepenuhnya bagi kerja-kerja pengalihan.
“Anggota polis ditempatkan di lokasi kejadian bagi membantu melancarkan aliran trafik dengan mengarahkan kenderaan keluar di Plaza Tol Kuala Kangsar untuk menggunakan jalan lama ke Ipoh,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Twitter @Plustrafik dalam ciapannya pada 1.24 petang memberitahu, laluan kontra telah dibuka di Kilometer 267.0 hingga 265.1 arah utara bagi mengurangkan kesesakan. Trafik masih bergerak perlahan dan pengguna diminta mematuhi papan tanda.
Terdahulu, video berdurasi 43 saat yang tular dalam media sosial memaparkan sebuah lori kontena terbabas dan melintang laluan yang mana ribuan tin sardin bertaburan di atas jalan.
Laluan lebuh raya juga bertukar warna kemerahan apabila sebahagian besar tin sardin kemek dan pecah dilanggar kenderaan lain.
-Utusan Online