PUTRAJAYA: Setelah dinobatkan sebagai bandar raya terbaik di dunia menerusi Expat City Ranking oleh portal InterNations, kali ini Kuala Lumpur terus melakar nama di pentas global.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Laman sesawang berita kewangan antarabangsa terkenal, Bloomberg menamakan ibu negara Malaysia itu sebagai antara enam bandar raya di dunia paling digemari ramai ekspatriat.
Melalui laporan terbaharu yang disiarkan, Bloomberg turut menyenaraikan Lisbon, Portugal; Dubai, Emiriah Arab Bersatu; Bengaluru, India, Mexico City, Mexico dan Rio de Janeiro, Brazil.
Meskipun tidak rujuk secara spesifik kedudukan enam bandar raya ini, Kuala Lumpur menjadi artikel yang pertama dalam senarai itu sekali gus memberi isyarat posisi semua kota tersebut.
Berdasarkan pemerhatian dan tinjauan penulis portal tersebut, ibu kota Malaysia ini dipuji ramai ekspatriat yang berkeluarga bukan sahaja kerana keunikan harmoni masyarakat majmuk.
Malahan, berbanding bandar raya negara jiran serantau, Kuala Lumpur ‘kaya’ dengan imej kepelbagaian tamadun dan budaya global terutama penduduknya yang fasih berbahasa Inggeris.
“Di sini juga kami terkejut apabila cukup meriah dengan aneka makanan dan bahasa pertuturan selain sikap ramah warganya,” kata Caroline Pujo yang baru berpindah awal Januari lepas.
Dia dan suami serta anak lelaki berusia 10 tahun secara jujur terkejut mendapati cara kehidupan di Kuala Lumpur jauh berbeza daripada Shanghai, China yang dihuninya hampir 15 tahun.
Dalam nada teruja, dia berkata, di bandar raya ini kehidupan lebih terurus berbanding di hab kewangan negara Tembok Besar itu yang bergerak terlalu laju dan amat perlu bekerja keras.
Lebih unik ujar pengurus projek di sebuah di firma multinasional itu, kos perbelanjaan di Kuala Lumpur begitu murah bagi pegawai dagang warga asing ada keluarga dengan ramai anak.
UtusanOnline-