PUTRAJAYA : Malaysia menerima kemasukan kumpulan pertama pekerja warga Bangladesh bagi sektor pembuatan, hari ini.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan berkata, pekerja warga Bangladesh dijangka masuk ke Malaysia secara berperingkat.
Katanya, kemasukan ini adalah susulan daripada Memorandum Persefahaman (MOU) Mengenai Penggajian Pekerja Warga Bangladesh yang ditandatangani oleh kedua-dua negara pada 19 Disember 2021.
“Ketibaan para pekerja ini disambut oleh Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh di Malaysia dan kumpulan pekerja ini akan digajikan untuk sektor pembuatan.
“Selain itu, Suruhanjaya Tinggi Bangladesh pada minggu lalu juga mengesahkan permohonan daripada 80 majikan tempatan yang melibatkan penggajian seramai 6,000 warga Bangladesh,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Saravanan berkata, bagi majikan yang membuat bayaran levi kepada Jabatan Imigresen Malaysia dan bercadang untuk menggajikan pekerja warga Bangladesh, mereka boleh memohon pengesahan (attestation) penggajian dan dokumentasi seperti kontrak pekerjaan serta pesanan kerja ke Suruhanjaya Tinggi Bangladesh di Malaysia.
Khamis lalu, Saravanan dilaporkan berkata, pihaknya sudah menyelesaikan isu-isu dengan semua negara sumber dan Malaysia mula menerima pekerja dari semua negara termasuk Bangladesh dan Indonesia.
Ia susulan Malaysia dijangka menandatangani MoU berhubung pengambilan pembantu rumah warga Kemboja awal September depan.
Tarikh pemeteraian perjanjian itu akan ditetapkan selepas beberapa kementerian berkaitan, termasuk Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyiapkan ulasan mereka mengenai perkara itu.
-Utusan Online