PETALING JAYA : Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak menolak kemungkinan Datuk Seri Najib Tun Razak akan mendapat pengampunan selepas didapati bersalah menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn. Bhd.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Dr. Mahathir berkata, jangkaan itu susulan banyak laporan kes-kes rasuah serius yang belum dibicarakan di mahkamah, sekali gus memungkinkan mana-mana penjenayah termasuk Najib terlepas daripada hukuman.
Beliau turut meluahkan kekesalan dengan kes SRC International yang mengambil masa amat panjang hingga menyebabkan banyak kes lain seperti kecurian, salah guna kuasa, rasuah melibatkan tokoh-tokoh politik tertangguh.
“Sekarang Najib dibicara berkenaan kes lain yang juga akan mengambil masa panjang dan saya percaya hakim-hakim juga kurang senang dengan begitu banyak kes tertangguh.
“Kelewatan ini menjadi lebih buruk kerana perlakuan Najib dan peguamnya apabila bermacam-macam alasan digunakan untuk menghalang perbicaraan,” katanya dalam hantaran di laman Facebook hari ini.
Najib hadir ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi ini bagi perbicaraan kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Perbicaraan diteruskan dengan soal balas terhadap saksi pendakwaan ke-65, bekas Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan, Datuk Siti Zauyah Mohd. Desa.
Dr. Mahathir berkata, ada dalam kalangan penjenayah yang sudah meninggal dunia gara-gara kelewatan perbicaraan yang sekali gus menyebabkan keadilan terabai.
-Utusan Online